Ramai yang tersangat arif dengan cerita 999 yang ditayangkan di sebuah stesen tv swasta setiap minggu. Cerita ini secara ringkasnya menunjukkan pekerja gomen yang beruniform terdiri antaranya pasukan polis, Pasukan Gerakan Am (PGA), penguatkuasa KPDNHEP dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM). Dikhabarkan bahawa siaran ini mempunyai ramai peminat yang setia menunggu untuk menonton samada aksi-aksi tangkapan, lakonan semula ataupun serbuan rumah urut. Oleh kerana peminatnya ramai, siarannya mengambil waktu ‘perdana’ dan disiarkan secara langsung walaupun tangkapannya masih merupakan rakaman.
Bagi yang meminati cerita 999 ini dan berupaya untuk melakukan sedikit latihan fikiran, tentu akan menyedari bahawa siri 999 ini pada mulanya bertujuan untuk membina keyakinan masyarakat terhadap pasukan polis di mana suatu ketika dahulu tahap kepercayaan masyarakat terhadap pasukan polis telah jatuh ke paras terendah. Ditambah pula dengan laporan Suruhanjaya Penambahbaikan Perkhidmatan PDRM yang secara jelas telah dapat membuktikan bahawa banyak yang tidak kena terhadap pasukan polis.
Dengan peredaran masa, perkara berkaitan imej pasukan polis dilihat menunjukkan sedikit perubahan terutama sekali pada lencananya yang jelas terpampang ‘Saya Anti Rasuah’. Eloklah sekiranya lencana di dada kiri itu dapat memberi kesan kepada diri si pemakai dan orang disekeliling pemakai.
Namun pendedahan yang mengejutkan daripada Malaysia Today amat menyentak dan merunsingkan. Pendedahan yang bukan main-main ini (kerana disertakan dengan bukti dan saksi) sekiranya benar bakal menunjukkan bahawa siri 999 akan sentiasa menemui penonton dan peminatnya selama beberapa tahun lagi. Ini kerana stok tangkapan akan sentiasa ada. Ini berlaku kerana kononnya tangkapan yang dibuat adalah untuk mengabui mata seluruh rakyat
Patutlah sentiasa sahaja aktiviti pelacuran, Ah Long serta perjudian menjadi semakin meriah walaupun setiap minggu kita dicanangkan dengan tangkapan demi tangkapan. Pernah juga terfikir… mengapa tangkapan tersebut tidak dapat mencari puncanya. Bukannya susah sangat untuk mencari punca jika ekornya sudah diikat. Tapi masih tak habis-habis juga.
Juga dikhabarkan bahawa bapa-bapa ‘ayam’ telah ditangkap. Jika begitu lagi mudah kerjanya untuk mencari pembekal ‘ayam’, seterusnya pemborong ‘ayam’ dan seterusnya bapa pemborong ‘ayam’. Rantaian itu tidak akan putus dan akan sampai ke puncaknya. Untuk bersama menuju puncak memerlukan pengorbanan dan disiplin yang tinggi. Agaknya ini yang terkurang dan perlu diperbetulkan.
Kepada pasukan polis, harus diinsafi bahawa anda tidak selalunya mesra, cepat dan betul. Jika apa yang dilaporkan itu tidak benar, haruslah ada penafian yang berilmu dan bukannya sekadar tiada komen.
No comments:
Post a Comment