Friday, April 18, 2008

Usaha Cuepacs

Di atas persetujuan lima daripada enam tuntutan Cuepacs yang mewakili pekerja-pekerja gomen, kami mengucapkan terima kasih. Ternyata pihak tertinggi kerajaan masih prihatin terhadap keluhan daripada pekerja-pekerja gomen. Usaha berterusan yang tidak segan harus diberikan penghargaan.

Namun begitu para pekerja gomen harus bersabar di dalam menantikan kaedah-kaedah serta syarat-syarat yang akan dikarang oleh pihak-pihak berkenaan di dalam isu yang berkaitan dengan umur persaraan serta isu PTK. Bagi isu-isu yang lain, ia lebih 'straightforward' seperti elaun kritikal, imbuhan tetap perumahan dan bayaran pencen mengikut tahun perkhidmatan.

Mengenai elaun kritikal tersebut, sebenarnya tidak dijelaskan mengapa elaun tersebut ditarik balik dan kenapa. Mungkin juga tiada rundingan terlebih dahulu (seperti biasa) sebelum di buat keputusan. Tiba-tiba sahaja, mereka yang 'terpilih' terus dikejutkan dengan penarikan balik elaun kritikal.

Tetapi yang lebih utaman sekarang ini ialah PTK. Sudah jelas ianya merupakan satu ketidakselesaan kepada hampir keseluruhan pekerja gomen. Cuepacs terpaksa menuntut ianya diubah. Cuba bayangkan jika tiada tuntutan daripada Cuepacs, sudah tentu PTK ini akan tetap diteruskan oleh JPA. Mungkin JPA sahaja yang bersetuju dengan PTK ini. Itu pun mungkin kerana terpaksa kerana mereka yang menciptanya.

Mengikut laporan, Cuepacs mahu peperiksaan diganti dengan kursus. Walaupun ini merupakan cadangan awal, penelitian daripada JPA juga perlu. Kursus yang bagaimana yang diperlukan, apa kandungan kursus, tempoh kursus, bentuk penilaian, tahap cemerlang, isu kuota, dan macam-macam lagi.

Memang isu ini menyulitkan, ia menjadi sulit disebabkan oleh kelemahan perancangan. Kelemahan perancangan ini yang menjadi puncanya ialah apabila orang yang bukan ahli diletakkan di tempat yang tidak sepatutnya.

Memang menjadi sesuatu lumrah apabila orang yang bukan ahli ini dipilih mengisi kerusi tertentu di sektor awam. Lebih-lebih lagi yang diisi itu merupakan jawatan-jawatan kanan yang penting. Sudahlah tidak mahir di dalam bidang tersebut, tidak pula mahu merujuk dengan pihak-pihak yang sepatutnya sebelum pekeliling dikeluarkan.

Sekali lagi di dalam hal ini, pekerja gomen perlu berhati-hati di dalam menunggu pekeliling baru mengenai PTK ini. Jika masih diteruskan tabiat lama, pisang mungkin berbuah dua kali.

Monday, April 14, 2008

Ada lagi PTK?

Salah satu isu yang masih membelenggu hampir kesemua pekerja gomen ialah isu PTK. Isu ini masih dibahas secara terbuka dikalangan pekerja gomen sehinggalah ke peringkat Cuepacs. Cuepacs pun boleh sedar bahawa PTK ini banyak kelemahannya. Kelemahan daripada peringkat perancangan sehinggalah kepada peringkat pelaksanaan.

Yang masih membuai dengan PTK ini hanya golongan tertentu di Putrajaya yang masih mahu mengakui bahawa PTK adalah amat perlu. Sudahlah tu....cukuplah dengan semua perancangan yang separa siap. Kelemahan yang ada amat ketara apabila keputusan untuk melaksanakan PTK dibuat secara tergesa-gesa tanpa mahu merujuk kepada pelbagai pihak di dalam sektor awam.

Kini ramai yang telah terkena tempias PTK ini dan ramai yang mahu ianya dimansuhkan. Ini kerana semuanya disebabkan masalah perancangan tadi yang tidak dilakukan dengan baik.

Kita boleh lihat apabila mulanya PTK ini dibuat, keputusan peperiksaan hanya ada dua sahaja iaitu lulus dan gagal. Apabila menyedari bahawa ini pun sebenarnya tidak tepat, maka diubah pula dengan frasa 'lulus' dan 'lulus bersyarat'. Kemudian ditambah pula dengan empat aras untuk menjadikannya lebih 'berinovasi'...kononnya.

Pada 2006 pula, kekerapan bagi peperiksaan ini ditambah bagi setiap tahun. Ini mungkin kerana ramai yang mengeluh dengan peperiksaan yang hanya dijalankan setahun sekali menyebabkan agak sukar untuk merancang. Jika ditakdirkan masa peperiksaan tersebut bertindih dengan perkara lain yang lebih penting, tentu ianya merupakan satu kerugian kepada pekerja gomen sendiri.

Namun begitu, kita juga terfikir tidakkah mereka-mereka ini yang selalu mengeluarkan pekeliling tidak terfikir kepada masalah-masalah 'mudah' ini. Sepatutnya perkara ini yang diperhalusi dahulu.

Ini belum dimasukkan dengan isu kenaikan gaji automatik kepada yang lulus, isu wujudnya kuota lulus, isu BTNP, isu PTK golongan profesional, serta pelbagai isu-isu lebih mikro yang wujud.

Sekali lagi saya mengatakan bahawa PTK banyak kelemahan. Kelemahan perancangan merupakan satu tragedi.