Tuesday, November 27, 2007

Aduan Terus Ke KSU

Kepada orang awam yang ingin membuat aduan, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi melalui kenyataan akhbarnya menyeru agar orang ramai menghantar maklumat atau aduan kementerian itu secara terus kepada KSU dan TKSU kementerian tersebut melalui e-mel.

Diulangi... e-mel sahaja.

Orang ramai kini boleh menghantar e-mel terus kepada Ketua Setiausaha kementerian itu Datuk Musa Muhamad di alamat musmad@mecd.gov.my, Timbalan Ketua Setiausaha (Usahawan) Mohd Hashim Abdullah (hashim@mecd.gov.my) ataupun Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Alwi Ibrahim (alwi@mecd.gov.my), menurut kenyataan kementerian itu yang dikeluarkan di sini hari ini.

Katanya orang ramai boleh menyalurkan sebarang aduan, pertanyaan atau untuk mendapat maklumat mengenai agensi dan bahagian yang bernaung di bawah kementerian itu.

Ia termasuk mengenai Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat), SME Bank Berhad, Yayasan Tekun Nasional, Kumpulan Bank Pembangunan, UDA Holding Berhad, Maktab Kerjasama Malaysia, Perbadanan Nasional Berhad dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri-negeri serta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan.

Thursday, November 22, 2007

Anugerah Penyapu PBT dan PTD HS

Ramai pekerja gomen memberikan maklumbalas yang bercampur-campur apabila memperkatakan mengenai anugerah 'Penyapu' yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Selangor baru-baru ini.

Cuepacs secara jelas tidak bersetuju dengan anugerah tersebut yang disifatkan terlalu 'menghina' serta mengaibkan pekerja gomen. Menteri KeKKWA juga mengulas perkara ini dan juga tidak bersetuju serta mencadangakan agar kaedah lain diguna pakai untuk mengatasi perkara ini.

Apakah punca yang menyebabkan anugerah 'Penyapu' dirangkul oleh dua agensi di Hulu Selangor itu. Bukan kerana tidak menjawab panggilan telefon, bukan kerana pasukan PBTnya tidak berjaya ke Liga-M, bukan kerana gerai sate dibiarkan dibina secara haram, bukan kerana ada kilang haram yang membuang sisa di sungai dan macam-macam bukan lagi.

Sebabnya adalah kerana kutipan hasil cukai yang tidak mencapai sasaran. Itu sahaja... Untuk mengatakan kutipan cukai merupakan indikator kepada keseluruhan prestasi sesuatu agensi tentunya adalah tidak tepat. Kutipan cukai merupakan salah satu daripada banyak lagi tugas utama agensi di peringkat negeri.

Isu yang dibangkitkan oleh banyak pihak adalah mengenai item 'penyapu' tersebut. Penyapu itulah yang menjadi topik hangat mengenai anugerah tersebut. Mungkin jika penyapu itu ditukar kepada benda-benda lain, maka benda lain itu pulalah yang akan dibahaskan. Tak apalah, kita lupakan penyapu, lupakan ular, atau pun anugerah tukang angguk.

Mengikut MB yang pernah merasakan adanya 'pembohongan terancang' ini, mana-mana pekerja gomen yang tidak menunjukkan prestasi yang baik akan dibersarakan ataupun ditawarkan VSS. Ini mungkin kerana beliau mungkin sudah menyedari agensi kerajaan di negerinya tidak menunjukkan mutu seperti yang diharapkan. Seorang Timbalan Menteri juga pernah mengatakan bahawa adanya operasi seperti 'kongsi gelap' di agensi peringkat negeri.

Lantas timbul pula pertanyaan, jika mutu yang diberikan tidak menunjukkan prestasi yang baik, tetapi mengapa semasa Anugerah Khidmat Cemerlang begitu ramai penerimanya? Agaknya inilah yang muncul dibenak fikirannya selaku MB.

Jika prestasi agensi-agensi dinegerinya masih belum mencukupi, mengapa Ketua-Ketua Jabatan dapat pula kenaikan pangkat?

Ini kerana Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor juga merupakan penerima anugerah 'Penyapu' tersebut dan siapakan D.O Hulu Selangor pada tahun 2006? D.O tersebut telah dapat naik pangkat dan hanya memerhatikan dari jauh sahaja anugerah tersebut. Tidakkan beliau merasa bertanggungjawab terhadap prestasi agensi yang dipimpinnya?

Namun bagi mereka yang tahu bahawa kenaikan pangkat mereka bukan bersandarkan prestasi, itu semua merupakan perkara kedua. Situasi dasar sumber manusia di peringkat negeri juga harus diperbaiki.

Thursday, November 15, 2007

Kajian Laman Web Kerajaan

Satu kajian untuk mengenalpasti portal dan laman web kerajaan Malaysia sedang dijalankan oleh MDec. Berikut adalah antara tujuannya,

Tujuan pengumpulan maklumat ini adalah untuk mengukur tahap penggunaan perkhidmatan agensi Kerajaan dalam usaha meningkatkan ketelusan serta memperbaiki sistem penyampaian perkhidmatan awam. Kajian tertumpu kepada perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan dan agensi-agensi terlibat melalui portal/laman web kepada orang ramai.

Maklumat yang dikumpulkan adalah sulit dan hasil kajian akan digunakan untuk laporan dalaman sahaja.

Sukacita jika anda semua dapat bersama-sama mengambil bahagian di dalam kajian tersebut dan klik di sini.

Friday, November 2, 2007

JPA jawab DG41

Untuk makluman guru yang menyambung pengajian ke peringkat ijazah, iaitu yang akan bertukar gred dari DGA29 dan sewaktu dengannya ke gred DG41, JPA dah buat keputusan mengenai isu ini melalui pekeliling perkhidmatan bilangan 20/07.

Mengikut pekeliling ini, guru-guru berkenaan layak untuk menerima hadiah satu pergerakan gaji di gred DG41.

Secara umumnya JPA mengiktiraf akan wujudnya kelemahan di dalam dasar sebelum ini lalu mengambil tindakan untuk menyelesaikannya. Walaupun demikian, saya percaya kira-kira 8000 guru yang terlibat dari DGA29 ke DGA41 serta bakal guru-guru yang ingin menyambung pelajaran akan melihat keputusan ini tidak memberikan apa-apa pemangkin kepada dasar sedia ada. Cuba kita lihat,

i.Kenaikan tahunan DGA29 ialah RM65.04
ii.Kenaikan tahunan DGA32 ialah RM98.31
iii.Kenaikan tahunan DG41 ialah RM90.45

Secara umumnya guru perlu menunggu tempoh perkhidmatan selama 10 tahun sebelum boleh dinaikkan pangkat. Bagi yang naik ke gred DGA32 dan DGA38, mereka tidak akan kehilangan tempoh 'time based' berbanding dengan yang dinaikkan ke DG41.

Oleh itu, saya percaya lebih ramai yang bersedia untuk ke DGA32 dan seterusnya ke DGA38 berbanding ke DG41 memandangkan pulangan yang lebih menarik. Cuba lihat pula kepada seseorang yang telah berkhidmat selama 4 tahun (tempoh yang agak cepat), kemudian menerima tawaran melanjutkan pelajaran selama 4 tahun lagi, menjadikan tempoh keseluruhannya ialah 8 tahun. Harus diingat bahawa sepanjang tempoh cuti belajar tersebut mereka hanya mendapat separuh gaji dan jika gajinya di P1T4, maka separuh gaji bermakna RM800.42. Selepas tamat, barulah boleh dilantik ke DG41 dan tempoh 'time based' semasa di DGA29 tidak dikira. Mereka perlu menunggu 10 tahun lagi untuk memohon ke DG44 menjadikan tempohnya 18 tahun.

Gaji P1T10 DG41 ialah 2509.90,
Gaji P1T8 DGA32 ialah 3104.23,
Gaji P1T18 DGA29 ialah 2544.66.

Jika mengikut sistem sekarang, guru-guru menyambung pengajian di OUM secara sambilan setelah selesai kursus selama setahun di IPG. Ini bermakna mereka perlu bekerja sambil belajar serta tidak mendapat cuti belajar.

Kelemahan kecil di dalam sistem tangga gaji ini hanya akan menyebabkan moral serta semangat modal insan untuk meningkatkan taraf kelulusan kurang berkesan. Keputusan yang dibuat oleh JPA walaupun memberi sedikit insentif, saya percaya tidak mencapai matlamatnya.