Monday, October 29, 2007

Pensyarah Matrikulasi

Kepada guru-guru yang ingin memohon untuk berkhidmat sebagai pensyarah di Kolej Matrikulasi, bolehlah merujuk kepada laman web Kementerian Pelajaran atau di sini. Tarikh tutup ialah 15 Disember 2007. Permohona ini hanya untuk guru-guru yang sedang berkhidmat sahaja kerana ini merupakan jawatan kanan.

Untuk permohonan guru lantikan baru, prosesnya adalah seperti yang sedia ada.

Selamat Memohon.

Tuesday, October 16, 2007

Cerita TKSU MOSTI

Dipetik daripada laman web TranungKite dan juga ada disiarkan di blog ini. Hasil rujukan di laman web MOSTI, profile TKSU ini adalah seperti berikut:

Namun untuk berlaku adil kepada TKSU ini, kebenaran email pembaca tersebut tidak dapat dipastikan. Sudah tentu sebagai pekerja gomen yang bertaraf kanan tidak akan mudah untuk memperlakukan sesuatu organisasi tersebut seperti yang dinyatakan. Jawatannya tersebut pula hanyalah TKSU dan bukan KSU.

Jika untuk membodek, itu mungkin ada berlaku lebih-lebih lagi daripada pihak atasan Kementerian. Angguk-angguk geleng-geleng.

Angkasawan Negara ialah Pekerja Gomen


Selaku pekerja gomen, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada angkasawan negara, Dr. Sheikh Muszaphar yang telah selamat berada di ISS ketika ini. Tahniah juga buat Kapt. Dr. Faiz Khaleed yang merupakan calon akhir angkasawan negara.

Kedua-dua mereka membuktikan bahawa pekerja gomen bukan terdiri daripada calang-calang orang. Bukan seorang tetapi dua orang yang menjadi calon akhir peserta angkasawan negara. Seorang berkhidmat di HUKM manakala seorang lagi merupakan anggota tentera.

Seperti yang telah dinyatakan di sini, ramai di kalangan pekerja gomen sebenarnya terdiri daripada mereka yang berkebolehan dan berkeupayaan. Kedua-dua mereka ini telah membuktikan perkara ini jika diberikan peluang. Cuma pekerja gomen yang berkebolehan dan berkeupayaan ini tidak dapat menunjukkan keupayaan mereka di dalam sektor awam disebabkan oleh perkara-perkara tertentu. Tetapi saya yakin dan percaya, jika padang rata yang dihamparkan di dalam sektor awam, sektor awam akan berkembang maju dengan lebih pesat. Padang rata ini tentulah tidak mengehadkan kepada skim-skim tertentu sahaja untuk memonopoli peluang-peluang tertentu.

Berbalik kepada program Angkasawan Negara, ada pandangan daripada beberapa pihak yang kurang bersetuju dengan program ini. Dengan mengatakan kos tinggi yang dibelanjakan iaitu sebanyak RM95 juta. Dengan RM95 juta memang macam-macam lagi yang boleh dibelanjakan di negara kita ini. Tapi sebenarnya juga bukan mudah untuk memohon sesebuah negara mengizinkan warganegara lain menggunakan kemudahan yang telah dibangunkan dengan begitu teliti dan penuh rahsia. Kemudahan angkasa lepas tersebut daripada latihan, peralatan, stesen perlepasan, teknologi, stesen angkasa lepas dan berbagai lagi yang tidak terjangkau oleh negara yang baru 50 tahun merdeka.

Tentu kita memerlukan satu jalan pintas untuk menyelami rahsia angkasa lepas dan dengan cara ini diharapkan ia dapat menjadi pemangkin kepada generasi seterusnya untuk menarik minat mereka. Saya juga mengharapkan jika ada program seterusnya, pihak berkenaan dapat mengambilkira kos yang telah banyak diperkatakan ini.

Mengenai eksperimen yang dijalankan di angkasa tersebut, kelebihan dan kepentingan eksperimen ini akan hanya terjawab dengan hasil keputusan yang akan dibawa balik oleh Sheikh Muszaphar. Pihak yang tidak mengetahui akan cepat melatah dengan mengatakan eksperimen ini tidak membawa manfaat kepada negara.

Sebelum mengatakan sedemikian, eksperimen ini dilakukan di angkasa lepas untuk mendapatkan tindakbalas yang bakal berlaku terhadap diri angkasawan, barah, protein dan bakteria semasa di dalam keadaan mikrograviti.

Jika didapati hasilnya positif, langkah seterusnya dapat diteruskan dengan melaksanakan kajian di bumi di dalam persekitaran mikrograviti. Untuk menyediakan persekitaran mikrograviti ini memerlukan perbelanjaan yang besar. Oleh itu, kajian tersebut boleh dijadikan sebagai kajian awal pengesanan sel di dalam keadaan mikrograviti ini. Banyak kemungkinan boleh berlaku di dalam keadaan mikrograviti tetapi itu cerita lain.

Mengenai istilah tersebut, boleh rujuk di wiki. Secara umumnya, seseorang yang sedang mengikuti pengajian di universiti tidak akan digelar siswazah jika belum menerima ijazah di majils konvokesyen. Begitu juga jika belum menamatkan ekspedisi di angkasa lepas, tentulah belum boleh dikatakan sebagai angkasawan. Selepas ini tentulah istilah angkasawan atau cosmonaut akan menjadi lebih tepat.

Akhir sekali, gambar di atas menunjukkan negara yang telah menghantar warganegaranya ke angkasalepas.

Friday, October 12, 2007

PATI Tidak RELA

Memang banyak isu dengan yang satu ini. Ianya berperanan sebagai 'mata dan telinga' kerajaan, membantu pasukan keselamatan dan penguatkuasaan lain, kemasyarakatan dan yang paling popular ialah menangkap PATI.

Dengan melihat kepada skop tugasnya ia lebih kepada kerja-kerja pasukan beruniform yang berteraskan 'separa-penguatkuasa'. Namun begitu ia mempunyai akta yang tersendiri. Ada pihak yang mahu ianya dibubarkan, ada yang sudah bosan dan terus menyalahkan Ketua Pengarahnya, negara jiran juga sudah tidak tahan lagi sehingga mahu kerajaan memperbetulkan agensi yang satu ini. Ternyata agensi ini bermasalah. Itu yang telah dizahirkan. Mungkin boleh dikatakan ianya adalah kes terpencil jika hanya satu dua isu yang berlaku tetapi jika sudah berbilang isunya, seharusnya ada yang patut risau.

Itulah Ikatan Relawan Rakyat Malaysia atau lebih dikenali dengan RELA. Jumlah besarnya ialah melebihi 488,000 orang. Ia ditubuhkan 35 tahun yang lalu dan sepatutnya dengan usia yang sedemikian ia telah matang di dalam proses menjalankan tugasnya. Walaubagaimanapun untuk berlaku adil kepada RELA, kebanyakan isu yang dibangkitkan adalah berkenaan dengan penangkapan PATI. Kuasa penangkapan PATI ini hanya diberikan kepada pihak RELA semenjak tahun 2005 iaitu dua tahun lepas.

Namun demikian ia bukannya alasan untuk kelemahan yang telah berlaku dan seterusnya tidak mengakui kelemahan yang berlaku. Mengikut Ketua Pengarah RELA, mereka perlukan lebih kuasa. Maknanya kuasa RELA tidak mencukupi. Disebabkan inilah maka mungkin masalah-masalah yang telah dilaporkan berlaku.

Di dalam sektor awam, RELA ini agak unik sedikit kedudukannya. Ini kerana sebahagian besar anggota RELA adalah merupakan sukarelawan dan bukannya pekerja gomen yang tetap atau kontrak. Pekerja gomen yang tetap juga ada tetapi jumlahnya adalah kecil dan tidak seramai anggota RELA. Oleh kerana ramainya anggota RELA ini, maka satu langkah bersepadu dalaman perlu diambil untuk menangani perkara ini.

Tidak sukar untuk saya bersetuju bahawa organisasi RELA ini bermasalah. Organisasi ini perlu diperbetulkan. Rombak organisasi ini dan meletakkan orang yang layak untuk menerajuinya. 'Ikan yang busuk bermula dari kepalanya.' Bagi organisasi yang beruniform ditambah pula bersangkutan dengan keselamatan negara, sepatutnya Ketua Pengarahnya pun memiliki pengalaman dan kepakaran di dalam hal ehwal ini.

Saya tidak dapat lari dari mengatakan ini sekali lagi isu asas iaitu isu sumber manusia. Ini bukan sepenuhnya kesilapan KP RELA ini. Ini kesilapan organisasi yang menguruskan kenaikan pangkat 'kawan-kawan'nya. Jika meletakkan yang bukan ahli pada tempatnya, tunggulah kebinasaan. Ini perkara asas untuk memperbaiki RELA.

Seterusnya pemantapan di peringkat ibu pejabat RELA dahulu harus diambil sebelum koordinasi diperingkat negeri sebagai langkah selanjutnya. Dengan ahli yang ramai, kaedah sekarelawan ini masih boleh diteruskan cuma pemilihan sukarelawan perlu diperketat serta latihannya diperkemas. Penekanan terhadap disiplin diambil kira dan kadar elaun dikaji jika perlu untuk menarik pelbagai lapisan masyarakat aktif di dalamnya.

Oleh kerana isu RELA ini telah melangkaui sempadan negara, ia harus diberi perhatian teliti oleh pihak tertinggi kerajaan. Kasihanilah rakan-rakan di Wisma Putra yang terpaksa memberikan perhatian pula kepada isu RELA ini. Banyak lagi isu ASEAN yang lebih penting yang perlu diberi perhatian oleh mereka.


Gambar Ihsan RelaWatch

Thursday, October 11, 2007

Sekadar Pekerja Gomen


Mengikut kata KSN, mereka-mereka yang didapati bersalah akan dikenakan tindakan. KSN merujuk kepada Laporan Audit Negara 2006 yang heboh diperkatakan baru-baru ini. Saya bersetuju dengan kenyataan tersebut iaitu yang bersalah akan dikenakan tindakan. Ini lumrah dan biasa serta tidak ada apa-apa kejutan. Tak perlu ditanya KSN untuk mendapatkan jawapan tersebut, tanya orang ramai pun boleh mendapat jawapan yang sama.


Kali ini beliau ada memberikan satu lagi cadangan. Bukan...bukan pasal VSS itu lagi. Kali ini cadangannya lebih bernas. Mulai tahun depan, beliau mencadangkan agar Laporan Audit mengandungi tindakan dan langkah-langkah yang telah diambil terhadap teguran audit tahun sebelumnya. Ini kerana sebelum ini, tiada kaedah khusus bagi memastikan samada organisasi-organisasi yang ditegur telah membetulkan atau membaiki mengikut teguran audit.

Walaupun demikian, seperti yang diketahui pekerja gomen kebanyakannya hanya melaksanakan tugas megikut arahan. Lebih-lebih lagi kepada pekerja gomen yang bertaraf biasa sahaja. Bagaimana pula jika ada arahan daripada pihak atasan yang lantas terpaksa dituruti walaupun membelakangkan prosedur. Perkara ini perlu juga diberi perhatian oleh pihak KSN jika pekerja gomen tersebut dapat membuktikannya.

Sekadar contoh, disertakan surat (ihsan Malaysia Today) yang adakalanya diterima oleh organisasi kerajaan. Perkara ini juga memang mengganggu tugasan seharian. Berbalik kepada teguran audit, ingin juga kita ketahui apakah tindakan yang akan diambil oleh KSN jika kes yang dinyatakan melibatkan sama orang-orang politik?

Jika merujuk kepada kes di KBS, perkara ini membabitkan rundingan terus. Penganugerahan rundingan terus ini mestilah melalui MOF. Untuk mendapatkan rundingan terus, banyak modal diperlukan. Wah...nampaknya banyak pihak perlu diselidiki jika mahu diperhalusi perkara ini. Tetapi jika mahu mengambil jalan mudah, 'kambinghitam' saja yang dua orang itu!

Sunday, October 7, 2007

Boikot barangan mahal

Setiap tahun kita akan melalui 'orde' yang sama. Ianya akan berulang-ulang selagi hayat dikandung badan. Tiap tahun menyambut hari perayaan samada Tahun Baru Cina, Deepavali, Aidilfitri, Hari Natal, Hari Gawai dan sebagainya.

Namun 'orde' kali ini agak berbeza dengan kenaikan kos sara hidup yang semakin tinggi. Harga barang yang meningkat mula terasa semenjak bermula musim bulan ramadan. Ianya dikejutkan dengan harga ayam yang diistiharkan naik.

Sebenarnya sudah banyak harga barangan yang naik tetapi tidak diwar-warkan kerana mungkin bukan barang kawalan. Sebagai contoh, harga susu pekat sudah mencecah RM 2.30 sedangkan harga sebelum ini ialah RM1.90. Itu belum dikira harga lampin pakai buang, susu bayi, makanan di pasar ramadan dan banyak lagi.

Salah satu cara yang selalu disebut-sebut ialah berbelanja dengan bijak. Untuk berbelanja dengan bijak memerlukan pengguna yang bijak. Pengguna yang bijak ialah pengguna yang menggunakan kuasa membeli secara teratur dan berorganisasi. Langkah Cuepacs dan MTUC menganjurkan program boikot perlu disokong. Bukannya dengan menyindir tindakan ini sedangkan kebaikannya untuk manfaat semua.

Walaupun siapa sahaja yang menganjurkannya, saya akan menyokong kerana ia adalah untuk kebaikan semua. Mungkin kita perlu melihat serta mencontohi budaya kepenggunaan yang amat tinggi di U.K. Kali ini saya sendiri hanya membeli ayam sekali di dalam tempoh bulan ramadan ini serta hanya singgah ke pasar ramadan tiga kali sahaja. Di pasar ramadan, memang menakutkan melihatkan kepada harganya. Dengan RM18 ringgit, saya hanya mendapat 4-5 barangan sahaja yang bertaraf makanan sampingan. Tak perlulah disebut apa yang saya beli ...tetapi sebagai contoh harga ayam golek tahun ini ialah RM15 seekor.

Memang sukar untuk memilih menjadi pengguna bijak jika hanya beberapa kerat yang terlibat. Pengguna lain juga harus mainkan peranan dan bersama-sama meneruskan tindakan ini.

Friday, October 5, 2007

PAC Arahkan Surcaj

KSU KBS telah dipanggil mengadap Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) di Parlimen pada 4 Oktober lalu. Memang PAC ada hak untuk memanggil sesiapa sahaja untuk mendapatkan penjelasan dan maklumat. Oleh kerana isu ini berkenaan dengan KBS, maka PAC pun kenalah memanggil KSU KBS selaku pihak bertanggungjawab.

Dipanggil oleh PAC merupakan satu 'fobia' hatta kepada sesiapa pun termasuklah pekerja gomen. Tak kiralah apa jawatan yang dipegang...sedangkan KSU pun akan mengeluh apabila dipanggil oleh PAC. Tentulah mengeluh kerana setem yang diberikan oleh masyarakat umum ialah, apabila dipanggil oleh PAC menandakan adanya masalah. Bila ada masalah, maka adalah unsur kecuaian. Bila ada unsur kecuaian adalah kesilapan dan kesilapan ini perlu dipertanggungjawabkan kepada seseorang.

Itulah sebabnya di dalam laporan awal kepada Ketua Audit, KBS seolah-olah mempertanggungjawabkan kecuaian ini kepada KPSU dan PSU nya. Mudah...memang mudah untuk mencari 'scapegoat'. Itulah nasib PTD bawahan ops... PTD kan 'cekap' mengurus. Tapi itulah realitinya bila kita terjun di pelayaran sebenar dan bukan di angan-angan.

Sekarang ini kerja tambahan bagi KSU KBS ini ialah untuk mengenalpasti mereka yang bertanggungjawab untuk dikenakan tindakan surcaj seperti yang dicadangkan oleh PAC. KSU ini memang boleh terlepas kerana apa yang berlaku adalah bukan di zamannya. Ini salah satu cara KSU ini 'terselamatkan' diri sendiri. Oleh kerana kaedah yang digunapakai oleh JPA untuk menaikkan pangkat 'orang-orangnya', maka dalam tempoh 2003 hingga 2007, ada empat orang KSU di KBS. Oleh itu ada yang menjadi KSU hanya untuk tempoh setahun sahaja dan jika di KBS, ada yang tempohnya lebih singkat. Adakah sistem ini sesuai? Sendiri mau fikir...

Tindakan surcaj ini merupakan antara tindakan yang ringan berbanding dengan tindakan lain yang telah digariskan. Mengenalpasti mereka yang perlu dikenakan tindakan adalah satu hal. Mereka mungkin tidak lagi di KBS tetapi mungkin ditempat baru.

Mengira surcaj adalah satu hal yang lain. Jika dilihat kepada amaun yang terlibat, saya merasakan sesuatu yang amat perit bakal ditanggung oleh 'scapegoat' itu. Jumlah potongan yang mungkin diambil adalah tinggi. Selaku pekerja gomen, saya bersimpati. Simpati saya adalah kerana kesalahan tersebut bukan kepada dua orang tadi sahaja dan banyak faktor yang terlibat.

Saya percaya kisah ini lebih besar daripada yang digambarkan. Penglibatan pihak-pihak lain di peringkat atasan perlu diselidiki terlebih dahulu sebelum sesuatu tindakan diambil.


Tuesday, October 2, 2007

Pihak Berkuasa Tempatan Bermasalah?

Jika anda ada sebarang aduan atau maklumbalas mengenai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) anda boleh menyalurkannya melalui laman web ini. Sebenarnya ia lebih kepada 'questionnaire' untuk mendapatkan maklumbalas kepuasan pelanggan di PBT (yang pernah dilabelkan operasinya sebagai ala kongsi gelap oleh seorang Timbalan Menteri).

Mengapa label sedemikian boleh timbul tambahan pula daripada seorang Timbalan Menteri? Mungkin bagi yang jarang berurusan dengan PBT tidak dapat menerima kata-kata sedemikian. Umum telah mengetahui bahawa operasi di PBT merupakan antara operasi yang bermasalah. Apa masalahnya bergantung kepada urusan masing-masing. Masalah tentang urusan tanahlah yang selalu dibangkitkan. Nak tukar status tanah, nak geran tanah, nak tanak TOL, nak beli tanah, nak pecah sempadan, pusaka tanah, nak buat pembangunan, nak mohon kelulusan, dan sebagainya. Ada macam-macam kes yang telah berlaku sehinggakan ada yang telah sampai ke peringkat tanah boleh hilang begitu sahaja.

Jika dilihat kepada laman web MAMPU, usaha 'questionnaire' ini tentu dianjurkan oleh pihak berkenaan. Usaha ini mungkin salah satu inisiatif PERMUDAH untuk meningkatkan sistem penyampaian kerajaan. Walaupun demikian, ianya mungkin ada sedikit pertindihan dengan Biro Pengaduan Awam. Seharusnya usaha ini lebih sesuai dilaksanakan oleh Biro berkenaan selain tugasnya dikatakan menjadi 'posmen' sahaja terhadap aduan orang awam.

Aduan demi aduan boleh dibuat dan diharapkan ramai warga Malaysia akan menyertai maklumbalas ini. Cuma yang saya dan ramai lagi khuatir, aduan ini tidak akan ke mana jika bersangkut paut dengan pihak-pihak tertentu. Lihat sahajalah contoh yang telah sedia ada dan telah disiarkan oleh akhbar.

Banyak kerja masih perlu dibuat!