Sunday, June 17, 2007

Gaji baru

Sabtu 16 Jun 2007, pihak JPA telah mengeluarkan pekeliling gaji baru bagi kakitangan awam. Maka dengan ini rasmilah pemberian kenaikan gaji (bukan semakan) kepada kakitangan awam. Bagi kakitangan awam diperingkat negeri, pengumuman daripada negeri masing-masing perlu dinantikan terlebih dahulu (ada negeri yang telah umumkan).

Proses kira mengira akan berlangsung dengan rancak, peningkatan aktiviti matematik secara ketara bakal dilihat kepada kakitangan awam. Jika soalan PTK ada yang bersangkut paut dengan bidang gaji dan peratusan, nescaya ramai yang akan menjawab dengan tepat dan betul. Harap JPA dengan angka 70% dan Cuepacs dengan angka 50% akan dapat membuktikan ketepatan pengiraan masing-masing.

Namun sehingga kini masih belum ada sebarang jawapan dan alasan yang bermakna mengenai isu peratusan lulusan PTK di kalangan penjawat awam. Mungkin juga tiada angka tersebut...

Wednesday, June 13, 2007

Pekerja Kontrak

Salah satu kaedah untuk menjadi pekerja gomen ialah dengan cara berkhidmat secara kontrak. Apabila namanya pun kontrak, maka bila tiba tempoh cukup 'haul', kontrak pun akan tamat dan pekerja tersebut akan diberhentikan secara terhormat.

Biasanya agensi kerajaan yang memerlukan kakitangan dengan segera akan melaksanakan pengambilan kakitangan secara kontrak. Pengambilan kakitangan secara kontrak ini akan bersandarkan kepada jawatan-jawatan yang wujud samada jawatan tersebut adalah jawatan tetap atau memang khas diwujudkan untuk pengambilan secara kontrak.

Dengan menerima jawatan yang ditawarkan secara kontrak itu, kakitangan berkenaan seharusnya telah faham bahawa jawatan tersebut bukan merupakan jawatan tetap dan tidak ada jaminan bahawa kakitangan tersebut akan diserapkan ke jawatan tetap. Alasan yang selalu diberikan ialah ada sesetengah agensi yang menyatakan mereka akan diserap ke jawatan tetap. Sebenarnya ini tidak mustahil tetapi bukannya jaminan bahawa mereka akan diserap ke jawatan tetap.

Kakitangan secara kontrak ini secara umumnya ramai yang menunjukkan prestasi yang baik, berkhidmat dengan penuh dedikasi dan tekun. Ada kakitangan kontrak yang prestasinya lebih baik daripada kakitangan lain yang 'tetap dan berpencen' yang telah lulus temuduga SPA itu. Kakitangan yang 'tetap dan berpencen' ini mungkin merasakan mereka telah 'selamat' lalu menunjukkan prestasi yang sewajarnya sahaja demi kelangsungan khidmat mereka.

Seperti yang dinyatakan oleh penulis ini, untuk membolehkan kakitangan kontrak diserap ke jawatan tetap, mereka perlu ditemuduga oleh SPA dahulu sama seperti pemohon-pemohon lain. Ini adalah bagi memberikan kesamarataan kepada pemohon-pemohon lain yang juga memohon jawatan berkenaan tetapi tidak berkhidmat secara kontrak dengan gomen.

Oleh itu khidmat serta pengalaman kakitangan kontrak ini tidak diambil kira dan tiada sebarang keistimewaan akan diberikan kepada mereka semasa temuduga. Ini merupakan sesuatu yang melegakan kepada pemohon-pemohon lain diluar sana. Pengalaman tidak bermakna kecekapan menjalankan tugas ataupun lebih produktif. Memang benar pengalaman banyak membantu di dalam menjalankan sesuatu tugasan walaupun tidak semestinya cekap. Sekiranya pengalaman dan kecekapan di'hybrid'kan, calon ini akan menjadi calon yang paling layak untuk dilantik oleh gomen.

Harus diakui bahawa kakitangan kontrak juga memberikan sumbangan kepada gomen dan negara amnya. Pengalaman yang ditimba oleh kakitangan ini seharusnya memberikan sedikit kelebihan kepada mereka berbanding dengan calon yang 'zero knowledge' di dalam sistem perkhidmatan gomen. Pengalaman yang berkait dengan jawatan yang dipohon terutamanya jawatan yang khusus/ikhtisas harus diberikan pertimbangan semasa temuduga. Ini juga tidak bermakna setiap kakitangan kontrak harus 'diluluskan' untuk mendapat jawatan tetap tetapi pengalaman tersebut harus mempunyai meritnya yang tersendiri.

Ketua-ketua jabatan juga harus memainkan peranan dengan menasihati pekerja kontrak ini berhubung dengan implikasi jawatan kontrak. Seseorang pekerja kontrak yang berdaya saing dan cekap serta menunjukkan prestasi yang baik bolehlah diberikan penilaian sulit untuk ditunjukkan kepada panel temuduga bagi memberikan gambaran kepada panel temuduga akan potensi pekerja tersebut.

Tuesday, June 12, 2007

Sambung belajar dengan PTPTN

Rakan-rakan pekeja gomen yang berhasrat untuk melanjutkan pelajaran secara sendiri (PJJ, separuh masa, profesional) sekarang ini boleh menggunakan pinjaman PTPTN (hutang lagi) yang permohonannya boleh dibuat secara online mulai 15 Jun 2007.

Kursus yang layak diikuti adalah daripada peringkat diploma, ijazah, serta pasca ijazah. Jadi kepada sesiapa yang berhasrat untuk melanjutkan pelajaran dan memerlukan pembiayaan kewangan boleh merujuk kepada PTPTN.

Walaupun ramai para guru-guru yang melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah mengeluh mengenai beberapa perkara, namun apa yang seharusnya lebih penting ialah budaya cintakan ilmu. Ada juga rakan guru yang menyentuh mengenai perkara yang tidak seharusnya berlaku semasa melanjutkan pengajian itu. Tidak dapat dipastikan sama ada ianya daripada sebilangan besar guru atau hanya segelintir.

Bagi yang melanjutkan pengajian ke peringkat diploma dan ijazah, peluang untuk menerima kenaikan pangkat adalah terbuka luas walaupun ada beberapa syarat yang perlu dipenuhi. Peningkatan kerjaya ini juga merupakan satu motivasi kepada pekerja gomen tersebut. Ini menunjukkan satu tahap pencapaian modal insan kepada pekerja gomen tersebut dan perkhidmatan awam secara umumnya.

Kita amat mengharapkan faktor pembangunan modal insan ini dapat diterjemahkan secara lebih menyeluruh demi mencapai tahap perkhidmatan yang bermutu tinggi.

Sunday, June 10, 2007

PDRM oh PDRM

Ramai yang tersangat arif dengan cerita 999 yang ditayangkan di sebuah stesen tv swasta setiap minggu. Cerita ini secara ringkasnya menunjukkan pekerja gomen yang beruniform terdiri antaranya pasukan polis, Pasukan Gerakan Am (PGA), penguatkuasa KPDNHEP dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM). Dikhabarkan bahawa siaran ini mempunyai ramai peminat yang setia menunggu untuk menonton samada aksi-aksi tangkapan, lakonan semula ataupun serbuan rumah urut. Oleh kerana peminatnya ramai, siarannya mengambil waktu ‘perdana’ dan disiarkan secara langsung walaupun tangkapannya masih merupakan rakaman.

Bagi yang meminati cerita 999 ini dan berupaya untuk melakukan sedikit latihan fikiran, tentu akan menyedari bahawa siri 999 ini pada mulanya bertujuan untuk membina keyakinan masyarakat terhadap pasukan polis di mana suatu ketika dahulu tahap kepercayaan masyarakat terhadap pasukan polis telah jatuh ke paras terendah. Ditambah pula dengan laporan Suruhanjaya Penambahbaikan Perkhidmatan PDRM yang secara jelas telah dapat membuktikan bahawa banyak yang tidak kena terhadap pasukan polis.

Dengan peredaran masa, perkara berkaitan imej pasukan polis dilihat menunjukkan sedikit perubahan terutama sekali pada lencananya yang jelas terpampang ‘Saya Anti Rasuah’. Eloklah sekiranya lencana di dada kiri itu dapat memberi kesan kepada diri si pemakai dan orang disekeliling pemakai.

Namun pendedahan yang mengejutkan daripada Malaysia Today amat menyentak dan merunsingkan. Pendedahan yang bukan main-main ini (kerana disertakan dengan bukti dan saksi) sekiranya benar bakal menunjukkan bahawa siri 999 akan sentiasa menemui penonton dan peminatnya selama beberapa tahun lagi. Ini kerana stok tangkapan akan sentiasa ada. Ini berlaku kerana kononnya tangkapan yang dibuat adalah untuk mengabui mata seluruh rakyat Malaysia bahawa mereka menjalankan tugas walhal perkara dibelakang tabir lebih berbahaya.

Patutlah sentiasa sahaja aktiviti pelacuran, Ah Long serta perjudian menjadi semakin meriah walaupun setiap minggu kita dicanangkan dengan tangkapan demi tangkapan. Pernah juga terfikir… mengapa tangkapan tersebut tidak dapat mencari puncanya. Bukannya susah sangat untuk mencari punca jika ekornya sudah diikat. Tapi masih tak habis-habis juga.

Juga dikhabarkan bahawa bapa-bapa ‘ayam’ telah ditangkap. Jika begitu lagi mudah kerjanya untuk mencari pembekal ‘ayam’, seterusnya pemborong ‘ayam’ dan seterusnya bapa pemborong ‘ayam’. Rantaian itu tidak akan putus dan akan sampai ke puncaknya. Untuk bersama menuju puncak memerlukan pengorbanan dan disiplin yang tinggi. Agaknya ini yang terkurang dan perlu diperbetulkan.

Kepada pasukan polis, harus diinsafi bahawa anda tidak selalunya mesra, cepat dan betul. Jika apa yang dilaporkan itu tidak benar, haruslah ada penafian yang berilmu dan bukannya sekadar tiada komen.

Tuesday, June 5, 2007

Polis dan PhD

Kisah mengenai lima orang rekrut konstable polis yang berkelulusan Sarjana dan PhD memang seharusnya membuka mata banyak pihak. Lima orang konstable ini mengikut ceritanya amat berminat dengan profesion kepolisan dan oleh itu mereka memohon juga untuk berkhidmat dengan pasukan polis tanpa mengira taraf kelulusan mereka.

Satu ucapan tahniah kepada kelima-lima orang pegawai polis tersebut semoga institusi dan profesion kepolisan akan lebih cekap dengan kehadiran anda semua di peringkat akar umbi. Ini juga diulas oleh seorang pembaca Berita Harian di sini. Tambahan pula gaji polis dan askar telah dinaikkan melebihi dari gaji kakitangan awam yang lain.

Umum mengetahui bahawa anggota polis yang paling banyak berurusan secara terus dengan orang awam terdiri daripada anggota-anggota 'akar umbi'. Dengan kehadiran anggota akar umbi dari kalangan lulusan pasca ijazah, nescaya budaya pemikiran kritis atau critical thinking yang ditimba dari universiti akan dijadikan pegangan semasa berurusan dengan orang awam. Budaya pemikiran kritis, penganalisaan, perancangan, konklusi serta pemupukan nilai-nilai tinggi ini boleh seterusnya meningkatkan tahap urusan polis dengan orang awam. Budaya inilah yang sebenarnya kurang dipraktikkan oleh sebilangan anggota akar umbi sehingga menyebabkan banyak aduan diterima oleh Suruhanjaya Penambahbaikan PDRM yang dibentuk tidak lama dulu.

Dengan menggengam ijazah PhD, seseorang itu telah dikategorikan sebagai seseorang yang pakar di dalam bidangnya. Ijazah PhD ini merupakan pencapaian akademik tertinggi yang mana keupayaan seseorang akan diuji sepenuhnya sebelum berjaya dengan dikurniakan ijazah tersebut.

Walaubagaimanapun, tanpa mahu menuduh mana-mana pihak, faktor-faktor lain juga harus diambilkira selain mengatakan alasan 'minat'. Alasan minat merupakan alasan umum yang boleh diterima oleh mereka yang lurus pemikirannya.

Oleh kerana tidak dihebahkan jurusan atau bidang kelulusan mereka, maka perkara ini tidak dibincangkan walaupun umum mengetahui bidang atau jurusan memainkan peranan penting didalam permohonan pekerjaan dan seterusnya kerjaya masing-masing.

Ada kemungkinan mereka tersebut telah memohon pekerjaan ditempat-tempat lain sebelum ini dan tidak berjaya, dan kali ini mereka mencuba nasib di bidang kepolisan. Kita tidak menyalahkan mereka kerana ia telah dijelaskan oleh pembaca Berita Harian tadi.

Jika disebabkan oleh minat yang teramat sangat untuk menyertai polis, tidak perlu untuk menghabiskan 2 tahun bagi Sarjana dan 3 tahun bagi PhD (tempoh 5 tahun utk mendapatkan PhD) untuk memohon jawatan polis. Selepas tamat ijazah sarjana muda pun sudah boleh memohon jawatan tersebut melainkan ijazah lanjutan yang dipelajari adalah berkaitan bidang kepolisan.

Jika lulusan Sarjana dan PhD tidak berjaya mencari pekerjaan yang setarafnya dengan ijazah mereka, ini bermakna iklim pekerjaan bagi golongan ini tidak diwujudkan secara meluas. Ini bermakna pasaran pekerjaan di negara ini hanya mewujudkan peluang bagi ijazah tinggi bagi bidang-bidang tertentu sahaja manakala beberapa bidang lain tidak mendapat tempat.

Kesan yang jelas dapat dilihat apabila peluang pekerjaan bagi golongan ijazah sarjana muda juga adalah terhad kepada bidang-bidang tertentu sahaja. Lantas maka wujudlah ramai graduan yang menganggur dan sebagai salah satu penyelesaiannya digerakkan kempen 'Keusahawanan Kerjaya Pilihan' untuk sebagai penyelesaian jangka pendek dan arahan daripada kerajaan kepada JPA untuk mengisi kekosongan.

Dengan pengisian lulusan Sarjana dan PhD ini, secara tidak langsung peluang bagi mereka yang berkelulusan SPM semakin berkurangan. Ini kerana lima tempat ini telah diisi oleh mereka yang disebutkan tadi. Ini tidak termasuk dengan calon yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dan Diploma yang juga mengisi jawatan konstable (jika ada). Oleh itu peluang calon yang berkelulusan SPM terhenti disini.

Disebaliknya, untuk menyedapkan keadaan serta menambah perisa, boleh juga dikatakan bahawa oleh kerana terlalu ramai lulusan Sarjana dan PhD di luar sana, maka saingan amat sengit dan ada yang memohon untuk menyertai pihak polis melalui pengambilan konstable. Ini juga boleh dijadikan salah satu sebab untuk negara kita berasa ceria kerana kita sudah mencapai taraf negara maju!! Ada ramai lulusan PhD!!





Sunday, June 3, 2007

Cerita COLA

Cola atau nama Inggerisnya Cost of Living Allowances merupakan antara elaun yang baru dinikmati oleh pekerja gomen iaitu bermula pada tahun 2006. Walaupun begitu ada juga yang mengatakan elaun ini pernah diberikan sebelum ini tetapi telah diberhentikan.

Elaun COLA ini sebenarnya Elaun Sara Hidup (ESH). Entah mengapa perlu diambil nama COLA itu tidak diketahui puncanya. Mungkin untuk menunjukkan kehebatan agensi berkaitan agar nampak lebih global di dalam memilih nama-nama yang gemilang. Sebenarnya memang telah menjadi satu trend di Malaysia ini, untuk mencari sesuatu nama.... nama dari luar yang menjadi pilihan. Lihat sahajalah laman-laman web kerajaan....menggunakan nama treasury,moe, mohe,mot,mohr,dan macam-macam lagi. KeKKWA pun menggunakan nama heritage. Jika dirujuk kepada Agensi DBP, tentulah murka-semurkanya.

Walaubagaimanapun untuk menjustifikasikan perkara ini, pihak berkenaan akan mengatakan bahawa alamat laman web tersebut perlu dibuat sedemikian rupa kerana ia penting kepada orang asing yang ingin mendapatkan maklumat berkenaan jentera kerajaan Malaysia. Mungkin ada benarnya, 25 juta penduduk Malaysia kurang penting daripada lebih kurang beberapa ratus ribu orang luar yang mengakses laman web tersebut.

Berbalik kepada COLA , pengumuman kenaikan COLA sebanyak 100% akan membuatkan elaun tersebut bermula daripada RM150 ke RM300. Bagi pekerja gomen yang menduduki kuarters, elaun yang akan diterima hanyalah separuh sahaja mengikut kelayakan.

Isu ini ada ditimbulkan oleh sebilangan pekerja gomen dengan mengatakan bahawa walaupun mereka menduduki kuarters, keperluan sara hidup adalah sama dengan pekerja gomen yang tidak menduduki kuarters.

Kita sendiri tidak faham pada mulanya apakah justifikasi yang mengatakan bahawa pekerja gomen yang menduduki kuarters tidak layak mendapat COLA. Selepas itu selepas mendapat maklumbalas dan tentangan, barulah diumumkan bahawa pekerja gomen yang menduduki kuarters layak mendapat 50% daripada kelayakan COLA.

Kita tidak dapat mencari justifikasi untuk mengelaskan COLA diantara yang tinggal di kuarters dan tidak. Apa yang pasti, kuarters di bandar-bandar besar merupakan satu kemudahan yang amat membantu pekerja gomen terutamanya di KL, JB, P.Pinang, Putrajaya.

Friday, June 1, 2007

Tak mau simpan wang ke?

Budaya menyimpan wang di kalangan pekeja gomen ini dikatakan amat sedikit dan kecil nilainya oleh Menteri Kewangan Kedua sendiri dan dipetik oleh V.K.Chin di dalam artikel beliau.

Beberapa sebab diberikan di dalam artikel tersebut. Namun begitu saya tidak mahu berbicara lanjut tentangnya kerana sebab sebenar kebanyakan pekerja gomen ini kurang (bukannya tiada langsung) menyimpan bukannya semata-mata kerana sebab yang disebut itu.

Sebabnnya mudah, ... iaitu memang dah tak mampu nak menyimpan!

Bukannya pekerja gomen ini tak nak menyimpan, suka berbelanja atau malas menyimpan tetapi jumlah yang dapat tu kalau cukup-cukup makan sahaja pun dah bernasib baik.

Perbelanjaan untuk sewa rumah, makan minum, pengangkutan, kenderaan, sekolah anak, bil-bil, tentunya amat tinggi dan tidak mencukupi terutamanya di bandar-bandar besar dan berkeluarga yang juga besar. Jika ditambah si isteri merupakan suri rumah (satu kerjaya yang paling mulia), maka sumber pendapatan keluarga tersebut hanyalah daripada si bapa.

Tidak dinafikan bantuan-bantuan telah diberikan oleh pihak kerajaan melalui pemberian elaun COLA dan kenaikan gaji, namun begitu saya percaya bantuan ini akan setakat melegakan kesempitan buat sementara kerana kos taraf hidup juga akan meningkat selaras dengan kenaikan hampir semua barang-barang sejak kebelakangan ini.

Juga boleh dikaji berapa ramai pekerja gomen yang memiliki rumah sendiri. Berapa ramai pekerja gomen yang memiliki rumah yang selesa untuk keluarga mereka. Tentu semua orang ingin mendapatkan rumah yang selesa untuk keluarga masing-masing tetapi bagi pekerja gomen, lihatlah rumah apa yang sesuai dimiliki.

Dengan gaji bulanan RM900, pekerja gomen layak memohon pinjaman (dari Bahagian Pinjaman Perumahan) sebanyak RM96,000. Dengan bayaran balik selama 25 tahun, bayaran ansuran bulanan adalah sebanyak RM520 sebulan. Jika ditolak dari gaji, maka tinggallah RM380.

Jika dicampur dengan elaun, jumlah pendapatan akan menjadi lebih kurang RM820 (setelah dicampur COLA RM150).

Bayangkan untuk menyimpan dengan RM820 sebulan? Sebak rasanya...