Monday, July 28, 2008

Darul Quran ke KSN

Institut Darul Quran merupakan satu institusi pengajian di bawah JAKIM. Setakat ini Darul Quran mengeluarkan kursus pada peringkat sijil dan diploma tahfiz namun mereka juga bercadang untuk menaik taraf Darul Quran ke peringkat Kolej Universiti.

Baru-baru ini berlangsung majlis Konvokesyen Darul Quran ke-17 dan ianya dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, seperti dinyatakan di sini. Dalam ucapannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ada menyatakan;

"Selain memilih kerjaya lazim seperti menjadi imam di masjid dan guru agama di sekolah, siswazah tahfiz juga digalakkan untuk berani menempatkan diri dalam bidang profesional.

"Mereka boleh menceburi bidang arkitek, kejururawatan, arkeologi dan tenaga pakar dalam pelbagai bidang termasuk sains dan teknologi.

"Namun, saya mahu melihat golongan ini memegang jawatan tinggi dalam pentadbiran negara seperti menteri Kabinet atau KSN dalam tempoh dua dekad dari sekarang. "

Itu adalah antara cabaran yang dilemparkan kepada para graduan tahfiz tersebut. Apa yang menariknya ialah ia ada menyebut 'jawatan KSN' yang mana ini menunjukkan bahawa kelayakan untuk menjadi KSN itu boleh dipikul oleh pelbagai pihak termasuklah para siswazah tadi.

Saya merasakan bahawa Menteri tersebut juga sedar bahawa buat masa ini, jawatan KSN tersebut telah disempitkan kepada skim tertentu sahaja dan mungkin ini merupakan satu seruan agar ianya tidak dimonopoli oleh segelintir pihak.

Ia juga selaras dengan saranan dari Presiden Persatuan Badan-Badan Berkanun Malaysia (PBBM) Tan Sri Nordin Kardi (moga lain kali jangan malukan pihak universiti dengan soalan debat kamu itu) bahawa untuk mencari bakat terbaik perlu dilakukan carian dengan lebih menyeluruh.

Jika mengikut keadaan semasa, bakat terbaik kononnya hanya boleh didapati dari satu skim sahaja. Saya jelaskan sekali lagi bahawa ini hanya angan-angan mereka sahaja... yang merasakan sedemikian.

Alangkah baiknya jika rakan-rakan dari JAKIM dapat menjadi KSN jua satu hari nanti.

Saturday, July 26, 2008

Pensyarah Gred 51

Kerajaan telah membuat keputusan bahawa pensyarah-pensyarah universiti yang berkelulusan Ph.D, akan terus dinaikkan ke gred 51. Keputusan ini merupakan satu langkah yang tepat memandangkan dengan kelulusan tersebut, sekurang-kurangnya segala usaha dan penat jerih yang dilalui selama menyambung pengajian berbaloilah juga akhirnya.

Memang akan ada yang tidak akan bersetuju namun kepada mereka yang pernah melalui pengalaman membuat Ph.D akan sedar dan insaf bahawa memang ia merupakan satu jenis cabaran dan pengalaman yang paling getir di dalam hidup mereka.

Kepada yang kurang mengetahui apakah itu Ph.D, di dalam bahasa yang mudah Ph.D ialah satu sumbangan asli kepada ilmu pengetahuan atau di dalam bahasa mudahnya 'an original contribution to knowledge'.

Wednesday, July 9, 2008

Komen di Malaysia-Today.net

Pada mulanya memang saya agak terkejut dengan kenyataan Cuepacs mengenai cadangan kerajaan negeri Kelantan untuk mengenakan syarat solat 5 waktu bagi kenaikan pangkat. Saya merasakan kenyataannya tersebut agak kurang cerdik dengan alasan yang dikemukakan.

Namun begitu saya merasakan suatu yang lebih kurang ajar dengan komen-komen daripada artikel di Malaysia Today ini. Inilah yang berlaku apabila kurangnya pengetahuan mengenai agama-agama lain lantas menyebabkan timbulnya rasa tidak hormat dengan mana-mana agama. Kebanyakan komen mengatakan atau cuba mengaitkan bahawa dengan bersembahyang itu menyebabkan sesuatu berlakunya penurunan produktiviti.

Ada juga komen yang secara terang menghina amalan sembahyang dengan mengatakan hanya yang bersembahyang akan ditawarkan bekerja di Kelantan, ada yang mengatakan sembahyang itu adalah perkara individu, ada yang mengatakan masa yang diambil untuk sembahyang perlu dipotong dari gaji dan berbagai lagi.

Komen-komen ini menunjukkan lebih ramai masyarakat Malaysia perlu dididik serta diberikan informasi yang lebih mengenai ajaran Islam. Saya percaya ramai yang memberikan komen tersebut tidak tahu mengenai agama Islam tetapi mahu juga memberikan pendapat masing-masing.

Masih juga ada perkara yang saya rasa perlu diperjelaskan dan agar mereka tidak membuat tuduhan melulu terhadap pekerja gomen. Dibawah ini disertakan salah satu komen tersebut,

Working life of a civil servant

8am - arrive at office, set table etc
8.30am to 9am go for coffee break
9am to 11am - sit at counter or table and chat with office mates about football game, last night date, which girl is cun etc
11am to 11.30 - go for prayers/catnap
11.30am to 12pm - repeat 9am to 11am
12pm to 1pm - lunch break
1pm to 1.30pm - additional lunch break (come back late from lunch)
1.30pm to 2.30pm - repeat 9am to 11am
2.30pm to 3pm - go for prayer/catnap
3pm to 3.30pm - go for tea break
3.30pm to 5.30pm - repeat 9am to 11am, then clear table and go home

In between the above at give at least total half an hour for going to toilet throughtout the day.

Di mana dan bila perkara ini diselidiki atau berlaku tidak dapat dipastikan. Jika ada berlakunya perkara ini, harap dapat diberitahu agar boleh kita boleh mengambil langkah bersama untuk mengatasinya.

Adakah mungkin pekerja gomen ini bertugas di Hospital, Balai Bomba, JPJ, Pejabat Tanah, Universiti, Polis, Askar...? Ini yang dikatakan 'komen selebet'!!

Tuesday, July 8, 2008

Imbuhan Tetap JUSA

Langkah ini diambil tatkala negara mengalami kesukaran dengan kenaikan harga barang serta ekonomi serantau yang tidak menentu. Walaupun demikian, penyelarasan yang seharusnya dibuat awal-awal lagi telah terlewat 12 tahun. Entah mengapa begitu lama masa yang diambil bagi mengkaji kesesuaian penyelarasan ini dan ketika di dalam keadaan sebegini barulah keluar Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 10 Tahun 2008 yang akan berkuatkuasa 1 Julai 2008.

Perbezaan antara JUSA Gred Utama dan Jusa Gred Khas ini pernah diulas di sini. Perbezaan ini seolah-olah menidakkan kepentingan JUSA Gred Khas yang secara majoritinya ialah daripada golongan pensyarah universiti.

Untuk rekod, Imbuhan Tetap Keraian bagi;

Khas 'A' - RM 3700.00 dinaikkan ke RM 4000.00
Khas 'B' - RM 2650.00 dinaikkan ke RM 3050.00
Khas 'C' - RM 2150.00 dinaikkan ke RM 2500.00

Bagi Imbuhan Tetap Jawatan pula walaupun terrrrlewat 17 tahun, sekurang-kurangnya mereka telah sedar. Tidak kiralah samada mereka disedarkan atau berpura-pura sedar... apa yang telah diulas telah mendapat perhatian.

Imbuhan Tetap Jawatan Gred Khas ialah;

Khas 'A' - RM 2000.00 dinaikkan ke RM 2500.00
Khas 'B' - RM 1200.00 dinaikkan ke RM 1500.00
Khas 'C' - RM 800.00 dinaikkan ke RM 1000.00

Monday, July 7, 2008

Kempen Hari Tidak Berbelanja

Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) telah menetapkan 16 Julai sebagai hari tidak berbelanja. Pada hari ini seluruh rakyat Malaysia dijemput untuk menjayakan kempen tersebut. Kenyataan media FOMCA tersebut boleh dibaca di sini.

Apa sahaja kempen atau gerakan yang mendorong ke arah penjimatan memang perlu dibantu dan disokong. Lebih-lebih lagi semenjak harga minyak yang semakin meningkat, kos hidup yang semakin meningkat, harga rumah baru dijangka akan meningkat 30%, serta serba serbi lain yang bakal meningkat.

Justeru itu, Cuepacs juga telah menyatakan sokongannya dengan kempen tersebut dan menyeru kepada pekerja gomen agar memainkan peranan dengan aktif sebagai kuasa pengguna yang terbesar.

Ingat... 16 Julai 2008


Sunday, July 6, 2008

Biasiswa dan Hadiah Latihan Persekutuan

Untuk mendapat biasiswa memang sesuatu yang sukar. Memang sudah banyak pihak jelaskan bahawa biasiswa ini adalah satu kemudahan dan bukannya hak. Isu ini tak perlulah dijelaskan lagi. Jadi kepada yang berhajat untuk mendapatkan biasiswa JPA, cepat-cepatlah memohon di laman web JPA.

Biasiswa ini adalah untuk peringkat diploma dan ijazah di IPTA dan IPTS dalam negara. Tarikh tutup ialah pada 13 Julai 2008. Namun harus diingat, biasiswa JPA merupakan antara biasiswa yang berprestij dan antara yang kompetitif. Oleh itu, cubalah memohon dan lakukan yang terbaik semasa proses pemilihan.

Melalui biasiswa ini juga, setiap pemohon yang berjaya akan mengikat kontrak dengan JPA mengikut tempoh yang ditetapkan. Tempoh adalah berbeza-beza mengikut kursus.

Bagi pekerja gomen di peringkat sokongan, mendapat peluang untuk melanjutkan pelajaran memang antara yang dinanti-nantikan. Namun begitu, untuk melanjutkan pengajian di peringkat ijazah ini adalah agak terhad dan memerlukan pengorbanan.

Namun begitu usaha gigih dan semangat yang tinggi ini sewajarnya dipuji dan diberikan perhatian. Langkah untuk memberikan penambahbaikan terhadap sektor perguruan mengenai perkara ini merupakan satu langkah yang boleh dipertingkatkan lagi.

Kita juga perlu melihat kepada pekerja gomen lain yang melanjutkan pengajian. Ada pekerja gomen yang mempunyai kelayakan yang lebih tinggi daripada jawatan mereka. Golongan ini terbahagi kepada dua iaitu mereka yang semasa memohon menggunakan kelayakan yang lebih rendah agar sesuai dengan jawatan dan golongan kedua ialah golongan yang melanjutkan pengajian semasa dalam perkhidmatan.

Tidak kiralah bagaimana mereka mendapatkannya tetapi yang pentingnya dimana mereka berada sekarang. Apabila difikirkan, kelayakan masuk ke jawatan perkhidmatan awam ini ternyata lebih berpaksikan kepada taraf pengajian. Namun begitu kepada mereka yang telah melanjutkan pengajian (kumpulan sokongan), agak sukar untuk mendapatkan peluang mengisi jawatan yang lebih tinggi sedangkan pengalaman serta kemahiran yang ada pada mereka ini adalah lebih baik berbanding dengan calon biasa. Ini juga secara relatifnya sama kes dengan pekerja kontrak yang telah dinyatakan sebelum ini.

Bila menyedari akan pentingnya modal insan dan usaha untuk meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara serta memupuk "minda kelas pertama", perkara ini telah dijadikan sebagai salah satu misi nasional di dalam RMK-9.

Walaupun langkah untuk meningkat modal insan di dalam sektor awam boleh dikatakan agak positif, namun masih ada ruang yang penting yang kurang diberi perhatian. Ruang ini adalah amat signifikan sekali dan perlu diberi perhatian oleh mereka yang berkenaan. Ada satu agensi kerajaan yang salah satu misinya ialah :

Menggubal dasar personel sektor awam termasuk pengambilan, penempatan, kenaikan pangkat, latihan, gaji, elaun, kemudahan, faedah persaraan, gantirugi kemalangan, suasana kerja, motivasi, insentif dan penghargaan.

Jadi agensi ini perlu lebih proaktif dalam menggubal dasar untuk kebaikan seluruh sektor awam dan bukannya terhad kepada skim-skim tertentu sahaja.

Buat masa ini pekerja gomen yang melanjutkan pengajian ke peringkat pasca ijazah tidak termasuk di pekerja gomen di universiti, kurang diberikan pengiktirafan oleh pihak kerajaan. Pekerja gomen yang memiliki Sarjana dan Ijazah Kedoktoran (Ph.D) seharusnya lebih dihargai memandangkan mereka inilah antara produk 'modal insan kelas pertama' yang wujud di dalam sektor awam.

Sesuatu pembaharuan perlu dikaji dan digubal terhadap dasar ini yang telah lama disedari tidak lagi sesuai dengan peredaran semasa. Mungkin hanya pihak-pihak tertentu sahaja yang belum sedar lagi. Jangan pula ambil masa hingga 20 tahun lagi.

Secara kasar, anggaran pekerja gomen yang menerima Hadiah Latihan Persekutuan oleh JPA adalah lebih kurang 300-400 orang setahun dan sejak akhir-akhir ini bilangan mereka yang memohon adalah semakin berkurangan disebabkan oleh daya tarikan 'memangku' yang lebih penting.

Mereka yang menggubal dasar ini telah menjadikan pemikiran pekerja gomen seolah-olah meletakkan modal insan sebagai perkara kedua dan dasar yang mereka gubal ini mereka katakan sebagai satu dasar yang baik dan sebab itulah mereka melantik diri mereka sendiri sebagai "penasihat kerajaan dalam urusan personal sektor awam." Baca di sini.

Hebat bukan!?

Tuesday, July 1, 2008

Gaji dua kali

Cukuplah dengan cadangan yang sukar dipercayai akan kesesuaiannya. Memang benar kita memerlukan idea-idea baru termasuklah cadangan-cadangan baru untuk melaksanakan sesuatu objektif.

Namun begitu setiap idea dan cadangan ini perlu diteliti dan diperhalusi dengan sedalam-dalamnya sebelum dihebahkan kepada orang ramai. Kaedah kutip dan tabur tidak sesuai di zaman ini. Ini bukan zaman feudal, bak kata seorang ahli politik negara.

Disebabkan oleh itulah saya tidak percaya bahawa idea untuk memberi gaji sebanyak dua kali sebulan boleh dicadangkan oleh pihak kerajaan. Sebenarnya pada pengumuman oleh PM, jika mengikut pada laporan ini ia bukanlah satu cadangan tetapi telah dijadikan arahan.

Mungkin selepas itu setelah menyedari terdapatnya bantahan yang konstruktif daripada pelbagai pihak, arahan tersebut telah bertukar menjadi cadangan. Mengikut ceritanya cadangan ini mungkin tidak dilaksanakan kerana mendapat bantahan dari Cuepacs, Suhakam serta pelbagai pihak lain.

Namun begitu apa yang dikesalkan ialah di mana pula peranan pegawai-pegawai tinggi kerajaan? Saya menyebut sedemikian kerana keputusan untuk 'mencadangkan' pembayaran gaji dua kali sebulan ini telah dibuat semasa mesyuarat 'post-cab'. PM juga menyatakan bahawa perkara ini telah dibincang dengan pegawai tinggi kerajaan semasa mesyuarat tersebut.

Jika mereka bersetuju, dan sudah tentu mereka bersetuju kerana jika mereka tidak bersetuju tentunya perkara ini tidak akan ditimbulkan. Pastinya yang di dalam mesyuarat 'post-cab' bersama PM itu yang hebat-hebat orangnya serta tinggi-tinggi jawatannya. Oleh itu pengalaman mereka itu yang banyak berpindah-pindah kementerian dan jabatan akan menjadi lebih mantap lagi agar boleh memberikan pandangan terhadap dasar-dasar yang membantu kepimpinan negara.

Tetapi ini tidak dapat ditunjukkan melalui keputusan cadangan gaji dua kali sebulan ini. Takkanlah perkara ini tidak dapat difahami oleh mereka di JPM itu yang terus sahaja bersetuju tanpa mengambil kira kesan kepada pekerja gomen yang lain.

Apapun, jika kerajaan ingin membuat sesuatu langkah atau keputusan terhadap pekerja gomen, tidak perlulah merujuk kepada pegawai tinggi kerajaan. Kerajaan juga tidak perlu rujuk kepada JPA yang perlu dilatih di dalam aspek merancang.