Tuesday, July 1, 2008

Gaji dua kali

Cukuplah dengan cadangan yang sukar dipercayai akan kesesuaiannya. Memang benar kita memerlukan idea-idea baru termasuklah cadangan-cadangan baru untuk melaksanakan sesuatu objektif.

Namun begitu setiap idea dan cadangan ini perlu diteliti dan diperhalusi dengan sedalam-dalamnya sebelum dihebahkan kepada orang ramai. Kaedah kutip dan tabur tidak sesuai di zaman ini. Ini bukan zaman feudal, bak kata seorang ahli politik negara.

Disebabkan oleh itulah saya tidak percaya bahawa idea untuk memberi gaji sebanyak dua kali sebulan boleh dicadangkan oleh pihak kerajaan. Sebenarnya pada pengumuman oleh PM, jika mengikut pada laporan ini ia bukanlah satu cadangan tetapi telah dijadikan arahan.

Mungkin selepas itu setelah menyedari terdapatnya bantahan yang konstruktif daripada pelbagai pihak, arahan tersebut telah bertukar menjadi cadangan. Mengikut ceritanya cadangan ini mungkin tidak dilaksanakan kerana mendapat bantahan dari Cuepacs, Suhakam serta pelbagai pihak lain.

Namun begitu apa yang dikesalkan ialah di mana pula peranan pegawai-pegawai tinggi kerajaan? Saya menyebut sedemikian kerana keputusan untuk 'mencadangkan' pembayaran gaji dua kali sebulan ini telah dibuat semasa mesyuarat 'post-cab'. PM juga menyatakan bahawa perkara ini telah dibincang dengan pegawai tinggi kerajaan semasa mesyuarat tersebut.

Jika mereka bersetuju, dan sudah tentu mereka bersetuju kerana jika mereka tidak bersetuju tentunya perkara ini tidak akan ditimbulkan. Pastinya yang di dalam mesyuarat 'post-cab' bersama PM itu yang hebat-hebat orangnya serta tinggi-tinggi jawatannya. Oleh itu pengalaman mereka itu yang banyak berpindah-pindah kementerian dan jabatan akan menjadi lebih mantap lagi agar boleh memberikan pandangan terhadap dasar-dasar yang membantu kepimpinan negara.

Tetapi ini tidak dapat ditunjukkan melalui keputusan cadangan gaji dua kali sebulan ini. Takkanlah perkara ini tidak dapat difahami oleh mereka di JPM itu yang terus sahaja bersetuju tanpa mengambil kira kesan kepada pekerja gomen yang lain.

Apapun, jika kerajaan ingin membuat sesuatu langkah atau keputusan terhadap pekerja gomen, tidak perlulah merujuk kepada pegawai tinggi kerajaan. Kerajaan juga tidak perlu rujuk kepada JPA yang perlu dilatih di dalam aspek merancang.

No comments: