Cola atau nama Inggerisnya Cost of Living Allowances merupakan antara elaun yang baru dinikmati oleh pekerja gomen iaitu bermula pada tahun 2006. Walaupun begitu ada juga yang mengatakan elaun ini pernah diberikan sebelum ini tetapi telah diberhentikan.
Elaun COLA ini sebenarnya Elaun Sara Hidup (ESH). Entah mengapa perlu diambil nama COLA itu tidak diketahui puncanya. Mungkin untuk menunjukkan kehebatan agensi berkaitan agar nampak lebih global di dalam memilih nama-nama yang gemilang. Sebenarnya memang telah menjadi satu trend di Malaysia ini, untuk mencari sesuatu nama.... nama dari luar yang menjadi pilihan. Lihat sahajalah laman-laman web kerajaan....menggunakan nama treasury,moe, mohe,mot,mohr,dan macam-macam lagi. KeKKWA pun menggunakan nama heritage. Jika dirujuk kepada Agensi DBP, tentulah murka-semurkanya.
Walaubagaimanapun untuk menjustifikasikan perkara ini, pihak berkenaan akan mengatakan bahawa alamat laman web tersebut perlu dibuat sedemikian rupa kerana ia penting kepada orang asing yang ingin mendapatkan maklumat berkenaan jentera kerajaan Malaysia. Mungkin ada benarnya, 25 juta penduduk Malaysia kurang penting daripada lebih kurang beberapa ratus ribu orang luar yang mengakses laman web tersebut.
Berbalik kepada COLA , pengumuman kenaikan COLA sebanyak 100% akan membuatkan elaun tersebut bermula daripada RM150 ke RM300. Bagi pekerja gomen yang menduduki kuarters, elaun yang akan diterima hanyalah separuh sahaja mengikut kelayakan.
Isu ini ada ditimbulkan oleh sebilangan pekerja gomen dengan mengatakan bahawa walaupun mereka menduduki kuarters, keperluan sara hidup adalah sama dengan pekerja gomen yang tidak menduduki kuarters.
Kita sendiri tidak faham pada mulanya apakah justifikasi yang mengatakan bahawa pekerja gomen yang menduduki kuarters tidak layak mendapat COLA. Selepas itu selepas mendapat maklumbalas dan tentangan, barulah diumumkan bahawa pekerja gomen yang menduduki kuarters layak mendapat 50% daripada kelayakan COLA.
Kita tidak dapat mencari justifikasi untuk mengelaskan COLA diantara yang tinggal di kuarters dan tidak. Apa yang pasti, kuarters di bandar-bandar besar merupakan satu kemudahan yang amat membantu pekerja gomen terutamanya di KL, JB, P.Pinang, Putrajaya.
Sunday, June 3, 2007
Cerita COLA
Posted by Civil Servant @ 12:54 0 comments
Friday, June 1, 2007
Tak mau simpan wang ke?
Budaya menyimpan wang di kalangan pekeja gomen ini dikatakan amat sedikit dan kecil nilainya oleh Menteri Kewangan Kedua sendiri dan dipetik oleh V.K.Chin di dalam artikel beliau.
Beberapa sebab diberikan di dalam artikel tersebut. Namun begitu saya tidak mahu berbicara lanjut tentangnya kerana sebab sebenar kebanyakan pekerja gomen ini kurang (bukannya tiada langsung) menyimpan bukannya semata-mata kerana sebab yang disebut itu.
Sebabnnya mudah, ... iaitu memang dah tak mampu nak menyimpan!
Bukannya pekerja gomen ini tak nak menyimpan, suka berbelanja atau malas menyimpan tetapi jumlah yang dapat tu kalau cukup-cukup makan sahaja pun dah bernasib baik.
Perbelanjaan untuk sewa rumah, makan minum, pengangkutan, kenderaan, sekolah anak, bil-bil, tentunya amat tinggi dan tidak mencukupi terutamanya di bandar-bandar besar dan berkeluarga yang juga besar. Jika ditambah si isteri merupakan suri rumah (satu kerjaya yang paling mulia), maka sumber pendapatan keluarga tersebut hanyalah daripada si bapa.
Tidak dinafikan bantuan-bantuan telah diberikan oleh pihak kerajaan melalui pemberian elaun COLA dan kenaikan gaji, namun begitu saya percaya bantuan ini akan setakat melegakan kesempitan buat sementara kerana kos taraf hidup juga akan meningkat selaras dengan kenaikan hampir semua barang-barang sejak kebelakangan ini.
Juga boleh dikaji berapa ramai pekerja gomen yang memiliki rumah sendiri. Berapa ramai pekerja gomen yang memiliki rumah yang selesa untuk keluarga mereka. Tentu semua orang ingin mendapatkan rumah yang selesa untuk keluarga masing-masing tetapi bagi pekerja gomen, lihatlah rumah apa yang sesuai dimiliki.
Dengan gaji bulanan RM900, pekerja gomen layak memohon pinjaman (dari Bahagian Pinjaman Perumahan) sebanyak RM96,000. Dengan bayaran balik selama 25 tahun, bayaran ansuran bulanan adalah sebanyak RM520 sebulan. Jika ditolak dari gaji, maka tinggallah RM380.
Jika dicampur dengan elaun, jumlah pendapatan akan menjadi lebih kurang RM820 (setelah dicampur COLA RM150).
Bayangkan untuk menyimpan dengan RM820 sebulan? Sebak rasanya...
Posted by Civil Servant @ 14:17 0 comments
Tuesday, May 29, 2007
Kerja Gomen naik Gaji
Bersempena dengan kenaikan gaji yang akan bermula mulai bulan Julai 2007, maka ramai kakitangan yang kerja gomen sudah mula berkira-kira dengan bakal upah yang akan masuk ke akaun. Picit saja ATM pada hujung bulan Julai, saya percaya ramai yang lega. Lega kerana dapat menampung kehidupan yang semakin terdesak di bandar-bandar besar.
Bagi yang tingal di bandar-bandar yang tidak dikategorikan bandar besar, ini merupakan peluang untuk menambah simpanan ataupun pelaburan. Ramai yang kerja gomen ini merupakan rakan karib kepada bank Rakyat. Memang bank tersebut memberikan kemudahan yang diperlukan oleh kakitangan gomen, namun usah kita lupa bahawa lebihan wang itu boleh digunakan untuk simpanan di masa-masa terdesak.
Walaupun ramai yang gembira dengan kuantum kenaikan tersebut, masih yang yang kurang bersetuju. Ada yang mengatakan kenaikan secara 'pukul rata' mengikut kategori tersebut perlu diperhalusi. Ini adalah kerana gaji permulaan di antara gred-gred menjadi semakin rapat dan ada yang melebihi gred diatasnya. Walaubagaimanapun belum ada kajian lanjut dibuat dan baiklah kita menunggu pekeliling dari JPA yang akan keluar tidak lama lagi.
Apa yang dilaksanakan oleh JPA itu hanyalah kenaikan gaji mengikut kategori. JPA perlu memahami bahawa semakan gaji adalah berbeza dengan penyelarasan gaji dan berbeza dengan kenaikan gaji. Ketiga-tiganya berbeza dan memberikan implikasi yang berlainan. Dengan mengambil jalan mudah ini, diharapkan semakan sebenar akan muncul tidak lama lagi.
Posted by Civil Servant @ 07:53 0 comments
Sunday, May 20, 2007
Pencen Kerja Gomen
Pencen atau bersara merupakan antara keistimewaan bagi orang-orang yang kerja gomen ini. Pencen ini mempunyai aktanya sendiri dan kalau tidak silap dinamakan Akta Pencen 1980.
Ramai yang memasuki kerja gomen kerana tertarik dengan pencen yang ditawarkan. Untuk melayakkan seseorang itu memasuki skim pencen, seseorang perlu bekerja selama 3 tahun dahulu dan telah disahkan di dalam jawatannya. Kemudian ia akan diberi pilihan untuk memilih skim Pencen atau skim KWSP. Kedua-dua skim ada kelebihan dan kekurangan masing-masing.
Skim Pencen ini secara umumnya ialah ia memberikan pendapatan bulanan (ada kiraannya) selepas persaraan. Pendapatan bulanan ini akan diterima sehingga akhir hayat. Jika seseorang kakitangan gomen itu meninggal dunia samada semasa masih bekerja atau selepas persaraan, wang pencen itu akan diserahkan kepada warisnya (isteri atau anak yang dibawah tanggungan).
Tetapi sebenarnya yang amat diperlukan ialah pembiayaan kesihatan. Kakitangan yang berpencen tidak dikenakan sebarang bayaran bagi perubatan di hospital. Ini bagi saya merupakan faedah yang paling penting kerana dewasa ini bermacam-macam penyakit telah muncul. Tambahan pula jika kita dilingkungan umur 55/56 tahun, semakin banyak penyakit yang akan hinggap dan berkenalan dengan empunya badan.
Bagi pesakit yang mengidap masalah buah pinggang, rawatan dialisis merupakan satu rawatan yang terpaksa dihadapi setiap minggu. Harganya pula mencecah ratusan bagi setiap minggu. Dengan mendapatkan rawatan di hospital kerajaan, bebanan ini dapat dikurangkan.
Walaupun gaji tinggi dan besar, kesihatan tetap perlu dijaga. Kerja yang bermati-matian, elaun dan pendapatan yang beribu-ribuan, tetapi apabila sakit semua tidak hiraukan.
Posted by Civil Servant @ 08:41 0 comments
Tuesday, May 15, 2007
Selamat Hari Guru
Hari ini 16 Mei 2007 merupakan hari guru. Selamat hari guru diucapkan kepada semua guru-guru di Malaysia dan dunia terutamanya kepada semua guru yang pernah mengajar saya dari tadika ke sekolah rendah hingga sekolah menengah.
Pada hari ini juga akan diumumkan insentif-insentif kepada para guru-guru kita bagi menunjukkan kerajaan menghargai pengorbanan para guru. Ia juga salah satu langkan meningkatkan taraf profesion perguruan. Saya kurang pasti mengenai peningkatan profesion perguruan ini kerana pada kebiasaannya memang profesion guru ini dipandang mulia oleh semua pihak.
Hanya pihak-pihak yang mempunyai kepentingan sahaja yang akan membiarkan profesion perguruan itu direndahkan secara halus dan tersirat. Namun begitu guru-guru telah bangkit secara 'total' dan sedar bahawa perubahan perlu dilakukan demi memartabatkan profesion mulia ini.
Bersempena dengan hari guru, saya memetik kata-kata Hishamuddin Rais 'jangan biar diri kita diSabtukan'.
Posted by Civil Servant @ 19:29 0 comments
Sunday, May 13, 2007
Claim
Oleh itu apabila ditugaskan untuk melakukan tugasan luar, kita tidak dapat mengelak dan melakukannya dengan sebaik mungkin. Setelah selesai melakukan tugasan tersebut seterusnya kerja-kerja menyiapkan claim pun bermula. Pada kali pertama membuat tuntutan, borangnya pun kita tidak tahu bagaimana rupanya. Itu belum lagi cara untuk mengisi kandungan tuntutan dan kelayakan tuntutan yang telah ditetapkan. Begitu sukar sekali untuk menyiapkan sesuatu borang claim ini.
Setelah berpeluh-peluh menyiapkan borang claim, perlu pula dihantar kepada boss untuk disahkan. Terpaksa pula melayan sesi Q & A dengan boss. Jika boss tidak bekenan, kenalah ubah semula.
Setelah itu baru dihantar semula kepada boss dan dimajukan pula kepada bahagian yang memproses claim. Jika ada kesilapan yang dikesan oleh pakar claim, maka perlu diubah semula dan diperbetulkan. Begitulah penangan dan cabaran di dalam mendapat kembali tuntutan perbelanjaan yang telah kita keluarkan.
Agaknya sebab inilah boss-boss yang ada P.A suruh P.A saje yang buat claim. Macamlah tak biasa buat dulu-dulu!!
Posted by Civil Servant @ 09:54 0 comments
Monday, May 7, 2007
Semangat Hari Pekerja
Bulan ini bulan Mei...bulan Mei lazimnya dikaitkan dengan Hari Pekerja dan Hari Guru walaupun masih ada hari lain seperti Hari Ibu.
Mengikut laporan yang diterima, pada 21 Mei ini akan diadakan sambutan Hari Pekerja bagi Kakitangan Awam yang dianjurkan secara bersama (setelah sekian lama...)oleh Cuepacs dan JPA di PICC, Putrajaya.
Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa sebelum ini, Hari Pekerja Perkhidmatan Awam hanya diraikan oleh sebilangan kecil mereka yang 'terpilih'di dalam dewan INTAN Bukit Kiara yang 'kecil' jika dibandingkan dengan jumlah kakitangan awam secara keseluruhan.
Kita tidak nampak apakah signifikasinya dengan mengadakan hari pekerja tersebut jika hanya lebih kurang 400 kakitangan awam sahaja yang menghadiri majlis itu. Para pekerja yang hadir pula merupakan lebih kepada 'pengarah' dan bukannya yang 'pekerja'.
Tidak dinafikan, tetamu jemputan yang dijemput merupakan pimpinan tinggi negara cuma pelaksanaannya yang lemah membuatkan semangat dan kesedaran hari pekerja di dalam sektor awam boleh dikatakan amat malap.
Oleh itu tindakan proaktif Cuepacs merupakan satu langkah pertama di dalam menerapkan semangat Hari Pekerja kepada lebih ramai kakitangan awam. Dengan mengadakannya di PICC, Putrajaya adalah diharapkan bilangan yang bakal hadir dapat digandakan.
Namun usah kita lupa akan pengisian pada hari tersebut. Selain daripada ucapan-ucapan yang saya percaya merupakan acara lumrah, hari tersebut juga boleh diisi dengan bengkel-bengkel yang berteraskan kepada kesatuan sekerja. Sesi taklimat diadakan kepada mana-mana pihak yang berhasrat untuk mewujudkan kesatuan sekerja. Bimbingan dan nasihat daripada kesatuan sekerja lain yang dianggap pakar dapat dicari di sini.
Sesi dialog amat diharapkan. Ramai pekerja sektor awam sentiasa ternanti-nanti sesi dialog ini samada dengan Cuepacs mahupun JPA atau kedua-duanya sekali. Saya percaya pada masa inilah kakitangan awam boleh memberikan komen mahupun kritikan membina secara terus kepada pembuat dasar (JPA).
Oleh itu, adalah diharapkan agar Sambutan Hari Pekerja Kakitangan Awam tahun 2007 akan memberikan satu dimensi baru kepada seluruh kakitangan awam bukan sahaja untuk memfokuskan kepada gaji semata-mata malah lebih daripada itu.
Tentu yang lebih penting ialah 'Integriti Kunci Pembangunan Negara'.
Posted by Civil Servant @ 07:49 0 comments