Monday, April 9, 2007

Jawatan, pangkat, kuasa bukan keistimewaan

Dipetik dari Berita Harian:


DALAM perkhidmatan awam, ada beberapa peranan yang perlu dilakukan ketua dalam menjayakan misi sesuatu perkhidmatan. Antara peranan ketua dalam perkhidmatan ini adalah seperti berikut:


  • Melakukan yang terbaik

    Ketua perlu melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan sebaik mungkin berdasarkan konsep kerja sebagai ibadat. Tugas atau jawatan yang disandang jangan dilihat sebagai satu keistimewaan.

    Tugas dan jawatan itu perlu dilihat sebagai amanah yang perlu dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Ini bererti jawatan, pangkat dan kuasa bukan suatu keistimewaan dan bukan untuk tujuan kebanggaan serta riak.

    Oleh itu, setiap jawatan yang disandang oleh seseorang dari peringkat tertinggi ke peringkat terendah di dalam sesuatu organisasi, hendaklah dilihat sebagai suatu amanah. Firman Allah dalam surah al-Nisa', ayat 58, yang bermaksud: ‘Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya.’

  • Mewujudkan konsep kerjasama

    Kerjasama yang erat dan padu antara ketua dan pekerja akan membuahkan kejayaan cemerlang dalam sesuatu organisasi. Malah majikan cemerlang adalah majikan yang sentiasa memberi bimbingan dan petunjuk kepada pekerjanya dalam melakukan kerja yang boleh menjurus kepada pencapaian matlamat organisasi.

    Konsep ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam firman-Nya dalam surah al-Maidah, ayat 2 yang bermaksud: ‘Bekerjasamalah kamu atas dasar kebaikan dan ketakwaan, dan janganlah sekali-kali bekerjasama atas dasar dosa dan permusuhan. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya seksa Allah amatlah berat.’

  • Melaksanakan keadilan dalam perjawatan

    Ketua hendaklah melantik mereka yang benar-benar layak untuk disandang ke sesuatu jawatan dan menjauhkan sikap pilih kasih terhadap pekerja.

    Bagi pekerja yang dilantik ke sesuatu jawatan, mereka janganlah berasa tertekan dan hendaklah diterima dengan penuh amanah dan tanggungjawab.

    Bagi mereka yang tidak dilantik ke sesuatu jawatan dalam sesebuah organisasi, jangan pula berasa iri hati dan cemburu dengan jawatan disandang oleh orang lain. Malah mereka hendaklah saling tolong-menolong dalam sesuatu pekerjaan yang diberikan.

    Firman Allah SWT dalam surah al-Nahl, ayat 90 yang bermaksud: ‘Sesungguhnya Allah menyuruh kamu berlaku adil dan berbuat kebajikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat, dan Allah melarang perbuatan keji dan kemungkaran serta permusuhan. Dia memberi pengajaran kepada kamu agar kamu dapat mengambil peringatan.’

  • Menentang sebarang bentuk penyelewengan

    Sebarang bentuk penyelewengan yang dicetuskan dalam perkhidmatan, ketua berperanan besar dalam membanteras bagi mewujudkan suasana pekerjaan yang telus dan jujur.

    Seandainya berlaku penyelewengan, bererti wujud kezaliman sama ada kepada organisasi atau kepada pekerja.

    Islam menegah sebarang bentuk penyelewengan seperti penyalahgunaan kuasa atau rasuah kerana perbuatan itu akan menjurus ke arah kehancuran. Ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam surah al-Rum, ayat 29 yang bermaksud: ‘Orang yang zalim itu (tidak berfikir) bahkan menurut hawa nafsu mereka (melakukan syirik) dengan tidak berdasarkan pengetahuan. Maka tiada siapa yang dapat memberi petunjuk kepada orang yang disesatkan oleh Allah (disebabkan bawaannya sendiri), dan tiada pula bagi mereka sesiapa yang dapat menolong melepaskan mereka daripada azab.’

  • Saling hormat menghormati

    Konsep ini akan menyebabkan pemimpin dan pekerja berasa dihargai dan akan menimbulkan suasana lebih harmoni ketika menjalankan tugas. Dalam erti kata yang lain, antara pekerja dan majikan perlu ada sikap ketaatan sebagai seorang pekerja dengan ketuanya, begitulah sebaliknya. Ini ditegaskan dalam firman Allah dalam surah al-Nisa', ayat 59 yang bermaksud: ‘Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada Rasulullah dan kepada Uli al-Amri (yang berkuasa) daripada kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada kitab Allah (al-Quran) dan (al-Sunnah) Rasulullah, jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian itu adalah lebih baik dan lebih elok kesudahannya.’

    Ini adalah antara peranan yang perlu dilakukan oleh ketua dan pekerja dalam sektor perkhidmatan awam mengikut perspektif Islam.

    Peranan ini tidak lain dan tidak bukan bertujuan mewujudkan keadaan dan kerja yang berkualiti sama ada dari sudut produktiviti dan sekali gus membentuk personaliti yang unggul.

    Dr Ahmad Redzuwan adalah pensyarah kanan di Jabatan Pengajian Dakwah & Kepemimpinan, Universiti Kebangsaan Malaysia
  • No comments: