Tuesday, April 17, 2007

30 bekas pengarah bantah PTD

Dipetik dari Utusan Online

Pendapat
KAMI yang menandatangani surat ini berasa terdesak dan terpanggil untuk menyuara perasaan dukacita kami atas isu cadangan Kementerian Pelajaran membawa masuk Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) ke dalam Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

Isu ini menjadi kontroversi besar dan telah ditolak oleh persatuan dan badan-badan perguruan yang mewakili lebih 500,000 orang guru-guru seluruh negara.

Kami sangat faham dan simpati dengan mereka kerana kami adalah pegawai-pegawai kanan yang pernah mentadbir dan mengurus pendidikan selama puluhan tahun, baik sebagai ketua pengarah atau timbalan ketua pengarah, pengarah bahagian di kementerian ataupun sebagai pengarah-pengarah jabatan negeri. Oleh itu kami bukanlah bercakap mengikut sumber kedua atau ketiga tetapi daripada pengalaman yang meluas dan mendalam dalam soal pengurusan pendidikan secara hand-on di tanah air.

Sejak 50 tahun pentadbiran sistem pelajaran negara telah diurus dengan cekap dan berkesan diterajui bersama di kementerian dan sepenuhnya di negeri oleh pegawai pelajaran dan hasilnya diakui UNESCO sebagai sistem bertaraf dunia dan dijadikan contoh kepada negara lain. Hakikat ini menafikan persepsi PTD bahawa pihak pegawai pelajaran kurang cekap dalam bidang pengurusan, kewangan dan pembangunan pelajaran dan belum pernah satu kajian empirikal dilakukan untuk menguatkan hujah negatif PTD ini.

Kementerian Pendidikan merupakan sebuah kementerian yang integrated atau bersepadu dalam erti kata ia ditadbir oleh dua kelompok perkhidmatan pengurusan iaitu pentadbiran am oleh PTD dan pengurusan profesional oleh pegawai pelajaran (PP). Ada lain-lain kementerian yang juga berbentuk kementerian integrated antaranya, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pertanian. Dari rekod pengalaman sejak zaman Allahyarham Aminuddin Baki lagi, operasi kementerian integrated ini khasnya Kementerian Pendidikan tidak berjalan secara memuaskan. Sering timbul pergeseran di antara PTD dan kumpulan PP dalam soal-soal perbezaan cara perlaksanaan dasar, perspektif pengurusan dan usaha perluasan sayap PTD mengambil alih jawatan-jawatan empuk yang dipegang PP.

Di samping itu, PP selalu berasa pegawai-pegawai PTD bersikap meninggi diri dan memandang rendah walaupun gred jawatan kadang-kadang tidak seberapa apabila melayani pegawai-pegawai kanan bahagian profesional. Ini disebabkan pegawai-pegawai PTD ini tahu bahawa mereka memegang kuasa di dalam bidang kewangan, sumber manusia dan mereka mendapat sokongan daripada agensi pusat. Sikap ‘‘Superiority Complex’’ PTD inilah yang selalu mengeruh hubungan di antara dua golongan itu.

Bidang kewangan dan sumber manusia merupakan portfolio yang amat penting dan amat strategik dalam sesuatu organisasi dan penyandangnya memegang kuasa dan pengaruh yang amat besar. Oleh itu, berdasarkan carta yang dicadangkan kita menjangka pengarah pendidikan akan terpaksa tunduk kepada pegawai-pegawai PTD yang akan cuma menerima arahan daripada KSU ataupun JPA. Ini kerana mereka tahu peningkatan karier mereka atau masa depan periuk nasi mereka bergantung di situ. Dengan cara bypassing pengarah pendidikan, mereka akan melemahkan JPN dan seterusnya kredibiliti pengarah sendiri akan terhakis. Jelas di sini, kita seolah-olah tidak belajar daripada pengalaman suasana ketidakharmonian yang wujud dalam kementerian apabila kerajaan memanjangkan bentuk dan sistem itu ke negeri dengan menjadikan JPN seolah-olah satu mini kementerian bersepadu dengan segala masalah-masalahnya.

Mengembangkan

Usaha PTD mengembangkan sayapnya di kementerian dan Jabatan Pendidikan sudah digerakkan sejak 1970-an lagi, tetapi telah dibantah keras oleh pihak PP. Puluhan memo telah dikirim kepada kerajaan, walaupun beberapa jawatan penting terpaksa kehilangan juga seperti bahagian biasiswa, bahagian luar negeri, jabatan penuntut-penuntut seberang laut, bahagian buku teks dan akhir-akhir sekali (paling buruk dan mendukacitakan) Wakil Tetap UNESCO. Usaha-usaha mengembang sayap ke JPN telah berjaya disanggah sehingga hari ini. Anehnya, semua jawatan yang PTD mahu rebut daripada perkhidmatan profesional adalah jawatan-jawatan naik pangkat ataupun jawatan-jawatan yang dicadang untuk dinaik pangkat. Juga apabila PTD masuk berkhidmat semua pegawai dan staf sokongan akan turut diperuntukkan sebagai pegawai penyokong. Umpamanya, dalam struktur baru JPN, dengan melonggokkan beban tugas yang dulu dijalankan oleh PP, segala pegawai sokongan telah diletakkan termasuk pegawai akauntan sebagai menjustifikasi naik pangkat bagi PTD. Dari segi pandangan kami, cara ini tidaklah adil kerana dengan perjawatan yang lengkap seperti itu, Jabatan Pendidikan tidak perlu mempunyai seorang pegawai PTD. Malahan seorang pegawai kanan pendidikan yang arif mengenai pengurusan pendidikan dan juga mendapat latihan yang secukupnya dan tahu berkenaan environment kerja dapat menjalankan kerja itu dengan lebih licin.

Tentang kedudukan jawatan-jawatan naik pangkat bagi pegawai-pegawai pendidikan adalah tidak benar mengatakan kemasukan pegawai-pegawai PTD tidak merugikan peluang naik pangkat bagi pegawai PP. Sebenarnya, peluang naik pangkat bagi PP amat kecil sekali apabila dibandingkan dengan nisbah naik pangkat pegawai PTD kerana bilangan pegawai PP begitu besar sekali.

Akhir sekali, kami meminta kerajaan tidak harus memandang ringan seruan dan suara hati masyarakat guru yang bilangannya dan kepentingannya begitu besar. Mereka memain peranan penting dalam masyarakat, dan telah menjadi penyokong yang setia kepada kerajaan dan parti kerajaan. Sekarang ini pun, ramai daripada mereka, baik yang berkhidmat mahupun yang bersara memendam perasaan ‘‘kecil hati’’ dan dukacita yang amat atas beberapa program baru dalam pelaksanaan dasar pendidikan kebangsaan. Kami berharap hasrat kerajaan terkini ini tidak akan menambah luka di hati mereka.

* KUMPULAN 30 bekas Pengarah Pelajaran Kementerian dan Negeri diketuai oleh Datuk Omar Hashim, bekas Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran

No comments: