Apabila seseorang memulakan kerjayanya di mana-mana pejabat atau syarikat secara makan gaji, tentulah ia bersyukur dan berazam untuk bekerja dengan bersungguh-sungguh. Begitulah semangat yang harus ada pada setiap orang untuk menyertai suasana baru di tempat yang baru.
Dengan mengambilkira konteks perkhidmatan awam atau bekerja dengan gomen, tentulah kesungguhan tersebut akan menjadi lebih bermakna kerana pekerjaan itu berhubung kait dengan rakyat.
Justeru itu, pekerjaan yang berkait dengan rakyat ini seharusnya membuatkan pekerja-pekerjanya bersemangat untuk bekerja dan bekerja dengan bersungguh-sungguh. Namun sebaliknya pula yang terjadi iaitu mereka yang berkerja dengan gomen ini sentiasa dilabelkan sebagai kurang rajin, kurang bersemangat, selalu keluar minum dan lain-lain label yang kurang enak di dengar.
Tetapi mengapa ini terjadi? Adakah mana-mana kajian dibuat oleh mana-mana pihak untuk mengesahkan hipotesis ini?
Namun begitu terdapat juga perkara seperti ini berlaku dan di sini ianya akan dibincangkan kepada satu faktor sahaja. Faktor ini juga tidak dapat dinafikan ada menyumbang kepada kelesuan sektor awam.
Pepatah cina ada menyatakan bahawa ‘ikan busuk bermula daripada kepalanya’. Melalui sistem perkhidmatan awam yang ‘cekap’ sekarang ini, yang menjadi ‘boss-boss’ biasanya akan dipilih daripada sekelompok kecil kakitangan awam. Jika kelompok ini hebat… tidak mengapalah tetapi itulah yang menyedihkan kerana terdapat ramai lagi yang hebat, berkelayakan dan berkarisma tidak dipilih. Kita tidak mahu menyentuh tentang proses kerana telah keluar dari topik ini. Segelintir yang terpilih ini pula akan terpilih melalui pendaftaran kemasukan … atau lebih dikenali sebagai ‘daftar dulu, naik dulu’.
Eloklah begitu, inilah sistem kenaikan pangkat melalui konsep kepimpinan yang diperkenalkan sejak sekian lama. Bukannya melalui keupayaan, produktiviti mahupun keilmuan tetapi melalui ‘batch system’. Seolah-olah seperti berada di sekolah rasanya.
Dengan menyedari kelemahan sistem pemilihan ketua-ketua di dalam perkhidmatan awam, tidak perlulah kita melihat kepada baagian-bahagian lain. Jika ketua yang dipilih tidak mempunyai pengetahuan dan keilmuan untuk berada di tempat tersebut, bolehlah kita bayangkan tidak akan ada kemajuan dan perkembangan di dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat.
Firman Allah dalam surah al-Nisa, ayat 58 yang bermaksud : ‘Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya.’ Ayat ini sudah cukup jelas, kerana tugas dan jawatan itu perlu diberikan kepada yang Ahli.
No comments:
Post a Comment