Tuesday, August 7, 2007

VSS Sektor Awam

Cerita pasal VSS ni dah mula heboh. Baguslah kalau orang heboh-heboh menunjukkan ramai yang peka dengan isu-isu pekerja gomen. Dengan berkapasiti 1.2 juta pekerja, mestilah ramai yang tunjukkan keprihatinan.

Mulanya ia dicetuskan oleh KSN di dalam satu ucapannya. Ia sebenarnya merupakan cadangan sahaja dan saya pasti KSN hanya 'test market' dahulu. Cadangan ini mungkin terhasil daripada pengamatan KSN bahawa terdapat ramai 'deadwood' atau 'penyapu buruk' dalam sektor awam ini.

Walaupun demikian sebenarnya KSN memberikan amaran kepada semua Ketua-Ketua Jabatan/Organisasi yang selama ini kurang memberikan tumpuan ke arah peningkatan produktiviti pekerja mereka. Ia sebenarnya berpunca daripada kurangnya penyeliaan yang berkesan daripada boss-boss di gomen ini. Kurangnya penyeliaan terhadap para pekerja gomen yang bermasalah ini menimbulkan tabiat 'Tak Pa' dan ditambah lagi jika ada jabatan yang mempunyai boss yang sendirinya kurang berdisiplin.

Ramai yang telah menyedari bahawa telah ada panduan-panduan untuk mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap pekerja bermasalah ini. Ini telah terkandung di dalam peraturan tatatertib perkhidmatan awam yang semua pekerja gomen telah maklum mengenainya. Ia juga merupakan soalan popular bagi ujian PTK.

Oleh itu apa masalahnya? Mengapa tidak dilaksanakan panduan-panduan tersebut? Ini mungkin berlaku kerana Ketua-Ketua Jabatan merasakan tindakan sebegini akan membuang masa dan tenaga, tindakan ini juga membuatkan mereka kurang popular, oleh itu segala masa dan tenaga yang ada perlu dijuruskan kepada perkara lain yang boleh menaikkan imej dan seterusnya jawatan mereka. Jadi tindakan 'melepas batuk' yang diambil ialah meletakkan masalah itu di tempat lain.

Tindakan ini juga sebenarnya boleh bersifat duri dalam daging. Jika ada pekerja gomen yang mungkin bekerja secara jujur tetapi tidak disenangi oleh ramai yang tidak jujur (sekadar contoh, saya tidak mahu memasukkan elemen politik) oleh itu pekerja gomen itu ditukarkan.

Selain daripada amaran tersembunyi KSN mengenai VSS ini, apa rasionalnya cadangan tersebut. Seorang pembaca NST ada mengatakan bahawa 'pekerja cemerlang yang kecewa' juga akan mengambil kesempatan dan meninggalkan sektor awam. Perkara ini perlu diberi perhatian kerana terdapat ramai di dalam pekerja gomen yang sememangnya lebih baik dan amat berpotensi tetapi tidak diberikan ruang yang sepatutnya.

Jika ada kajian mengenai perkara ini, ia seharusnya diberi perhatian yang serius dan mendalam. Juga para pengkaji-pengkaji tersebut perlu memiliki kepakaran yang meluas dan bukan hanya terhad kepada satu skim yang itu sahaja. Ini adalah kerana kajian tersebut akan memberikan impak dan kesan yang besar kepada keseluruhan sektor awam.




No comments: