Friday, January 4, 2008

Perhimpunan

Perhimpunan merupakan perkara yang agak sensitif kepada sesetengah pihak di dalam tahun 2007. Pelbagai gelaran perhimpunan diberikan dan di antaranya ialah perhimpunan haram, perhimpunan jalanan, demonstrasi, atau perhimpunan tanpa permit. Seperti biasa pekerja gomen dilarang mengahadiri semua perhimpunan yang disebut tadi kerana hanya dibenarkan menghadiri perhimpunan bulanan.

Itulah satu-satunya perhimpunan yang boleh dihadiri dan perlu dihadiri oleh pekerja gomen sehinggakan boleh dikenakan amaran jika tidak hadir ke perhimpunan tersebut. Perhimpunan bulanan ini sebenarnya ada fungsi dan kepentingannya terhadap sektor awam. Ia merupakan satu kaedah bagi ketua-ketua Jabatan untuk menyampaikan pesanan dan ucapan kepada seluruh pekerja gomen di organisasi masing-masing.

Namun begitu apabila dikumpulkan seramai lebih kurang 700 ke 800 orang pekerja gomen daripada seluruh Malaysia, tentulah ada perkara yang penting untuk dibincangkan. Ini juga merupakan satu peluang kepada mereka yang terpilih itu untuk menyampaikan atau sekurang-kurangnya menyatakan secara terus dengan pihak atasan masalah serta cadangan daripada mereka.

Langkah untuk mengadakan majlis ini juga akan menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kakitangan mereka. Itulah yang diharapkan oleh lebih 700 pekerja gomen yang hadir ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada hujung Disember 2007 yang lalu.

Selain daripada ucapan standard yang diberikan, ruang untuk berdialog telah disempitkan. Peluang untuk bersama KPPA ini seolah-olah hanya dijadikan satu perhimpunan bulanan sahaja tarafnya.

Sepatutnya lebih ruang diberikan kepada pekerja gomen yang hadir untuk sama-sama menyertai perjalanan majlis ini. Tambahan pula kehadiran mereka adalah daripada seluruh negara.

Jika hanya lokasinya di sebuah kawasan bertaraf antarabangsa tetapi pengisiannya hanya bertaraf 'Darfur', majlis ini menjadi satu lagi majlis yang mengecewakan. Jika ada perancangan untuk mengadakannya lagi pada tahun 2008 ini, baikilah ia.

Jangan anda juga di'penyapu'kan.

Friday, December 28, 2007

Buku untuk diplomat

Membaca buku merupakan sesuatu yang sukar bagi kebanyakan pekerja gomen. Membaca buku tidak termasuk di dalam kategori membaca akhbar, surat, minit mesyuarat, majalah picisan, email, diari mahupun membaca slip gaji.

Oleh itu, satu kaedah yang diambil agar pekerja gomen membaca buku (secara terpaksa) ialah dengan mengadakan satu peperiksaan. Peperiksaan ini pula hendaklah dijadikan syarat untuk menaikkan apa-apa yang patut agar semua pekerja gomen akan rajin membaca buku.

Maka diwujudkanlah peperiksaan PTK dan dijadikan syarat untuk naik gaji dan naik pangkat.

Oleh itu saya mengambil kesempatan ini untuk memperkenalkan buku bertajuk Buku Panduan Diplomatik untuk rakan-rakan di Wisma Putra iaitu Pegawai Diplomatik.

Semoga dengan adanya buku ini dapat dijadikan panduan bagi Pegawai Diplomatik untuk lebih berani berdepan dengan cabaran dari negara luar.

Bacalah...bacalah...bacalah

Sunday, December 23, 2007

Hadiah Latihan Persekutan bagi Para Pendidik

Kepada para pendidik yang berminat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah, permohonan biasiswa bagi HLP tahun 2008 telah pun dibuka. Tawaran ini hanyalah kepada para pendidik yang sedang berkhidmat sahaja dan terhad kepada bidang-bidang seperti yang dinyatakan.

Friday, December 14, 2007

Konvensyen Tritahunan Cuepacs ke 24

Konvensyen Tritahunan Ke 24, CUEPACS telah diadakan pada 10hb Disember hingga 13hb Disember 2007 bertempat di Dewan San Choon, Wisma MCA, Jalan Ampang Kuala Lumpur. Ianya telah dirasmikan oleh Dato' Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia. Turut hadir, Tan Sri Mohd. Sidek Hj. Hassan, Ketua Setiausaha Negara.

Ucapan Tuan Haji Omar Osman, Presiden Cuepacs.

Didalam ucapan beliau, 75% daripada 1.2 juta penjawat sektor awam telah melakukan anjakan perkhidmatan terbaik. Kakitangan sektor awam yang berilmu dan pemikiran yang baru merupakan matlamat kearah wawasan 2020 selain memantapkan dan memperkasakan kakitangan sektor awam dibawah Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).

Tidak ramai yang mengetahui bahawa perjuangan kesatuan sebenarnya adalah seiring atau menjadi rakan kongsi kerajaan di mana secara tidak langsung telah diiktiraf sebagai wakil kepada 1.2 juta kakitangan awam dalam menyalurkan sebarang tuntutan atau rasa ketidakpuasan mereka.

Konvensyen Tritahunan ini diadakan bagi menilai kerja-kerja dan aktiviti CUEPACS sepanjang tiga tahun dan ia juga turut menilai usaha dilakukan terhadap isu-isu Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang hangat diperkatakan dan perlanjutan tempoh pesaraan oleh semua kakitangan kerajaan pada masa ini. Ia juga diharapkan dapat memantapkan perjuangan kesatuan-kesatuan sektor awam agar nasib pekerja akan terbela melalui saluran perundingan bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Tuan Haji Omar juga mengharapkan agar Kerajaan menerima kertas kerja berkenaan honorium sempena 50 tahun kemerdekaan Malaysia untuk semua kakitangan sektor awam yang dipinta oleh CUEPACS untuk dipertimbangkan.


Tuesday, November 27, 2007

Aduan Terus Ke KSU

Kepada orang awam yang ingin membuat aduan, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi melalui kenyataan akhbarnya menyeru agar orang ramai menghantar maklumat atau aduan kementerian itu secara terus kepada KSU dan TKSU kementerian tersebut melalui e-mel.

Diulangi... e-mel sahaja.

Orang ramai kini boleh menghantar e-mel terus kepada Ketua Setiausaha kementerian itu Datuk Musa Muhamad di alamat musmad@mecd.gov.my, Timbalan Ketua Setiausaha (Usahawan) Mohd Hashim Abdullah (hashim@mecd.gov.my) ataupun Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Alwi Ibrahim (alwi@mecd.gov.my), menurut kenyataan kementerian itu yang dikeluarkan di sini hari ini.

Katanya orang ramai boleh menyalurkan sebarang aduan, pertanyaan atau untuk mendapat maklumat mengenai agensi dan bahagian yang bernaung di bawah kementerian itu.

Ia termasuk mengenai Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat), SME Bank Berhad, Yayasan Tekun Nasional, Kumpulan Bank Pembangunan, UDA Holding Berhad, Maktab Kerjasama Malaysia, Perbadanan Nasional Berhad dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri-negeri serta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan.

Thursday, November 22, 2007

Anugerah Penyapu PBT dan PTD HS

Ramai pekerja gomen memberikan maklumbalas yang bercampur-campur apabila memperkatakan mengenai anugerah 'Penyapu' yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Selangor baru-baru ini.

Cuepacs secara jelas tidak bersetuju dengan anugerah tersebut yang disifatkan terlalu 'menghina' serta mengaibkan pekerja gomen. Menteri KeKKWA juga mengulas perkara ini dan juga tidak bersetuju serta mencadangakan agar kaedah lain diguna pakai untuk mengatasi perkara ini.

Apakah punca yang menyebabkan anugerah 'Penyapu' dirangkul oleh dua agensi di Hulu Selangor itu. Bukan kerana tidak menjawab panggilan telefon, bukan kerana pasukan PBTnya tidak berjaya ke Liga-M, bukan kerana gerai sate dibiarkan dibina secara haram, bukan kerana ada kilang haram yang membuang sisa di sungai dan macam-macam bukan lagi.

Sebabnya adalah kerana kutipan hasil cukai yang tidak mencapai sasaran. Itu sahaja... Untuk mengatakan kutipan cukai merupakan indikator kepada keseluruhan prestasi sesuatu agensi tentunya adalah tidak tepat. Kutipan cukai merupakan salah satu daripada banyak lagi tugas utama agensi di peringkat negeri.

Isu yang dibangkitkan oleh banyak pihak adalah mengenai item 'penyapu' tersebut. Penyapu itulah yang menjadi topik hangat mengenai anugerah tersebut. Mungkin jika penyapu itu ditukar kepada benda-benda lain, maka benda lain itu pulalah yang akan dibahaskan. Tak apalah, kita lupakan penyapu, lupakan ular, atau pun anugerah tukang angguk.

Mengikut MB yang pernah merasakan adanya 'pembohongan terancang' ini, mana-mana pekerja gomen yang tidak menunjukkan prestasi yang baik akan dibersarakan ataupun ditawarkan VSS. Ini mungkin kerana beliau mungkin sudah menyedari agensi kerajaan di negerinya tidak menunjukkan mutu seperti yang diharapkan. Seorang Timbalan Menteri juga pernah mengatakan bahawa adanya operasi seperti 'kongsi gelap' di agensi peringkat negeri.

Lantas timbul pula pertanyaan, jika mutu yang diberikan tidak menunjukkan prestasi yang baik, tetapi mengapa semasa Anugerah Khidmat Cemerlang begitu ramai penerimanya? Agaknya inilah yang muncul dibenak fikirannya selaku MB.

Jika prestasi agensi-agensi dinegerinya masih belum mencukupi, mengapa Ketua-Ketua Jabatan dapat pula kenaikan pangkat?

Ini kerana Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor juga merupakan penerima anugerah 'Penyapu' tersebut dan siapakan D.O Hulu Selangor pada tahun 2006? D.O tersebut telah dapat naik pangkat dan hanya memerhatikan dari jauh sahaja anugerah tersebut. Tidakkan beliau merasa bertanggungjawab terhadap prestasi agensi yang dipimpinnya?

Namun bagi mereka yang tahu bahawa kenaikan pangkat mereka bukan bersandarkan prestasi, itu semua merupakan perkara kedua. Situasi dasar sumber manusia di peringkat negeri juga harus diperbaiki.

Thursday, November 15, 2007

Kajian Laman Web Kerajaan

Satu kajian untuk mengenalpasti portal dan laman web kerajaan Malaysia sedang dijalankan oleh MDec. Berikut adalah antara tujuannya,

Tujuan pengumpulan maklumat ini adalah untuk mengukur tahap penggunaan perkhidmatan agensi Kerajaan dalam usaha meningkatkan ketelusan serta memperbaiki sistem penyampaian perkhidmatan awam. Kajian tertumpu kepada perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan dan agensi-agensi terlibat melalui portal/laman web kepada orang ramai.

Maklumat yang dikumpulkan adalah sulit dan hasil kajian akan digunakan untuk laporan dalaman sahaja.

Sukacita jika anda semua dapat bersama-sama mengambil bahagian di dalam kajian tersebut dan klik di sini.