Sunday, February 24, 2008

PRU-12

Sekarang sedang sibuk dengan demam pilihanraya. Hari ini baru sahaja selesai penamaan calon. Di dalam proses pilihanraya ini, bukan hanya pekerja gomen yang bekerja dengan SPR sahaja yang sibuk tetapi termasuk juga pekerja gomen lain seperti polis, pejabat tanah, PBT, Rela serta guru. Jika ada yang lain tetapi tidak termasuk di dalam senarai tadi, anda boleh masukkan sendiri di ruangan 'comment'.

Memang pilihanraya akan dibuat semasa cuti sekolah. Itu semua orang sudah tahu serta ambil maklum. Ini kerana banyak sekolah akan digunakan sebagai tempat pembuangan undi dan guru-guru dilantik sebagai kakitangan pilihanraya. Bertambah lagi satu tugas guru lima tahun sekali.

Walaubagaimanapun, pekerja gomen juga tertakluk kepada G.O berkenaan penglibatan pekerja gomen di dalam politik. Ia telah dijelaskan di dalam G.O tersebut dan di dalam PRU12 ini ada beberapa orang pekerja gomen yang terpaksa meletakkan jawatan untuk membolehkannya bertanding.

Ada juga yang tidak jadi bertanding walaupun sudah dicalonkan kerana tidak sanggup meletakkan jawatan. Saya tidak tahu panggilan apakah yang layak untuk digelar kepada mereka ini.

Kepada pekerja gomen yang bertugas, bertugaslah dengan baik, kepada pekerja gomen yang mengundi, selamat mengundi dengan kesedaran kerana sebelum negara maju, sistem perkhidmatan awam perlu maju dahulu.

Thursday, February 7, 2008

KSN yang diSEGANi

Setelah membaca akhbar mengenai isu honorarium ini, rasa nak tergelak pun ada. Saya akui saya tidak berkesempatan untuk menonton program bicarawara tersebut di TV1, oleh itu saya hanya tahu mengenai perkara ini melalui laporan akhbar.

Ternyata jawapan yang diberikan oleh KSN amat memeranjatkan. Ini kerana isu ini telah dinasihatkan sendiri oleh PM semasa Konvensyen Tritahunan Cuepacs agar dibawa berbincang dengan KSN. Di dalam majlis yang sama juga, KSN turut hadir dan sedia maklum mengenai perkara ini dan pada 7 Januari 2008, satu mesyuarat telah diadakan mengenai isu ini seperti yang diarahkan oleh PM.

Setelah 4 minggu mesyuarat tersebut diadakan, rupa-rupanya tiada tindakan diambil! Satu contoh pengurusan yang cekap dan berkualiti. Mengarahkan orang memang mudah, tetapi apabila kena pada batang hidung sendiri baru terserlah kelemahan.

Patutlah Cuepacs terus menempelak KSN diatas kelemahannya yang melibatkan pelanggan seramai 1.2 juta orang. Dia terlupa bahawa dia harus memberikan perkhidmatan kepada pelanggan yang ramai. Dia juga terlupa dengan 'One Service, One Delivery and No Wrong Door' yang patut sahaja ditukar kepada 'One Simple Job, No Delivery and No Respond'.

Isunya sekarang ini bukannya dapat atau tidak honorarium itu tetapi tiada tindakan langsung daripada KSN dan itulah yang amat mengecewakan. Tiada tindakan dalam masa 4 minggu bermakna tidak cekap. Segan bertanya sesat jalan, segan berkayuh perahu hanyut.