Monday, July 9, 2007

Anugerah Khidmat Cemerlang : Satu Pembohongan Terancang?

"Anugerah Khidmat Cemerlang adalah 'satu pembohongan terancang'!"

Secara tidak langsung ini memberi maksud bahawa anda sebenarnya tidak cemerlang dan tidak seharusnya menjadi penerima Anugerah Khidmat Cemerlang (AKC). Walaupun yang menganjurkan majlis Anugerah Khidmat Cemerlang itu agak baik penganjurannya, ia tetap tergolong di dalam sesuatu yang dirancang. Baiklah... penganjurnya boleh dikecualikan.

Kenyataan MB Selangor pada 9 Julai 2007 sebenarnya masih boleh dipertikaikan. Kenyataan ini mungkin timbul hasil pengamatan beliau terhadap sampel-sampel yang ada di negeri Selangor (satu-satunya negeri maju). Berdasarkan kepada sampel-sampel tersebut, beliau mendapati tahap produktiviti dan kecemerlangan masih di takuk lama sedangkan pegawai-pegawai di Selangor sudah hampir kesemuanya menerima Anugerah Khidmat Cemerlang. Oleh itu beliau merasa hairan.

Anugerah Khidmat Cemerlang ini mempunyai kriterianya yang tersendiri. Salah satunya ialah ia mempunyai kuota yang ditetapkan bagi penerimanya saban tahun. Dengan bersandarkan kepada markah LPNT, setiap jabatan itu mungkin mempunyai calon-calon yang layak untuk dipertimbangkan AKC melebihi daripada kuota yang ditetapkan.

Apabila calonnya lebih ramai, maka lebih sukarlah untuk membuat pemilihan bagi yang layak. Disinilah kebijaksanaan agensi berkenaan di dalam memilih penerima AKC perlu diperhalusi. Pemilihan perlu dibuat berdasarkan faktor yang ditetapkan.

Di dalam SSB, pemilihan AKC menjadi isu yang amat sensitif. Ini kerana penerima AKC akan menerima ganjaran sepanjang hayatnya (ini benar). Di tambah lagi dengan pemilihan yang berpilih menyebabkan ramai yang kurang berpuas hati. Semenjak SSM dilaksanakan, sudah kurang rungutan yang kedengaran mungkin kerana penerimanya mendapat ganjaran 'one-off' sahaja.

Walaubagaimanapun ini tidak harus menghilangkan prestij AKC ini. Jika saya merupakan penerima AKC, tentu saya merasakan segala penat lelah yang dihargai dengan AKC ini meruap begitu sahaja. Penerima AKC yang amat bersemangat mula lemat semangat.

Jika kita terserempak dengan penerima AKC yang boleh diragui pencapaiannya, ia sebenarnya kelemahan penilaian terhadap pegawai tersebut. Kelemahan berganda ini (kerana ada dua penilai) bakal melemahkan keseluruhan agensi tersebut. Dengan memberikan pengiktirafan 'memilih bulu' akan melemahkan moral kakitangan yang sebenarnya cemerlang.

Diakui juga bahawa ada segelintir yang melaksanakan AKC secara berpilih. Jika hanya muka-muka yang sama menerima AKC pula, akan dikatakan berlaku pilih kasih dan seolah kakitangan yang lain tidak ada sumbangan. Jika ramai yang menerimanya pula dikatakan dibuat secara bergilir-gilir.

Bagaimana pula jika pada tahun tertentu tiada langsung penerima AKC?