Thursday, July 26, 2007

Akujanji


Lembu dipegang pada talinya, manusia dipegang pada janjinya. Janji manusia tidak boleh dipaksa-paksa. Janji manusia adalah kenyataan sukarela. Jika ada orang yang memaksa orang lain berjanji ia seperti menaiki bas tanpa konduktor. Bas boleh bergerak, sampai tempat yang dituju tetapi tidak mampu untuk menyelenggara bas itu sendiri.


Oleh kerana ingin membaiki halatuju dan kesihatan universiti di Malaysia yang sedang sakit, maka para pekerja gomen di universiti telah memulakan inisiatif untuk tidak lagi membenarkan diri 'dipaksa berjanji' kepada warga universiti. Boleh rujuk laporan Malaysiakini di sini dan daripada blog Malaysianunplug di sini.

'Dipaksa berjanji' ini telah dimulakan pada tahun 2002. Sekeping dokumen yang ditaip di atas kertas tebal, ketebalannya lebih kurang seperti kertas sijil disediakan untuk semua pekerja gomen. Tidak dapat dipastikan samada semua jabatan/agensi menggunakan kaedah yang sama. Apa yang pasti semua pekerja gomen dikehendaki menurunkan tandatangan kepada sekeping kertas tersebut di hadapan ketua masing-masing.

Kertas inilah yang akhirnya dinamakan akujanji singkatan daripada 'aku terpaksa berjanji' (??). Kertas ini kemudiaannya dikembalikan kepada semua pekerja gomen untuk simpanan sehingga berpencen.

Kertas inilah yang kini menjadi duri dalam daging kepada universiti mengikut kacamata mereka. Bukan calang-calang orang yang bersetuju dengan hakikat ini. Daripada pensyarah sehinggalah kepada profesor dan bekas profesor pun menandatangani petisyen ini. Namun begitu terdapat ramai lagi diluar sana yang bersetuju tetapi tidak mahu nama mereka disiarkan. Kita memahami alasan sedemikian kerana pelbagai cara dan tekanan boleh dikenakan kepada pekerja gomen oleh pihak-pihak berkenaan.

Inilah sistem yang perlu dimajukan terlebih dahulu. Seolah-olah tidak ada ruang untuk pekerja gomen menganalisa, mengkaji dan memberikan pandangan secara berhemah tetapi lebih kepada mengikut arus sahaja. Oleh kerana lagi kerana ia berkaitan dengan diri pekerja gomen itu sendiri, maka seharusnya pertimbangan dengan mendalam harus diambil kira sebelum sesuatu arahan atau dasar dikuatkuasakan.

Oleh kerana golongan pekerja gomen yang bijak pandai telah mengenalpasti salah satu halangan kemajuan universiti, maka adalah halangan ini juga boleh merencatkan kemajuan perkhidmatan awam?

Akujanji sebenarnya secara tidak langsung 'merendah-rendahkan' pekerja gomen. Pekerja gomen seolah-olah diragui akan ketaatannya. Pekerja gomen diragui akan menjalankan tugas dengan penuh berhati-hati, jujur dan bertanggungjawab.

Ianya juga tidak membenarkan pekerja gomen membawa sebarang bentuk pengaruh atau tekanan luar untuk menyokong atau memajukan sebarang tuntutan berhubung perkhidmatan awam. Inilah klausa yang membelenggu pekerja gomen.


No comments: