Saturday, July 21, 2007

Majukan Perkhidmatan Awam

Baru sahaja beberapa hari lalu, indikator daripada Bank Dunia telah dikeluarkan dan kini indikator daripada Institut Pembangunan Pengurusan mengenai kecekapan kerajaan telah dihebahkan oleh KSN.

Indikator ini terdiri daripada empat faktor utama iaitu ekonomi, perkhidmatan awam, kecekapan perniagaan dan infrstruktur. Indikator yang menarik minat KSN ialah kualiti perkhidmatan awam.

Indikator ini sebenarnya adalah bagi Laporan 'World Competitiveness Report' dan telah dikeluarkan di dalam bulan Mei 2007. Menurut kenyataan KSN, indikator kualiti perkhidmatan awam telah meningkat daripada 53% kepada 57% peratus tahun ini. Saya tidak pasti samada beliau gembira dengan angka tersebut ataupun merasa kecewa.

Apabila melihat ianya dibangkitkan di dalam Majlis Anugerah Khidmat Cemerlang (pembohongan terancang?) tentulah ucapan tersebut secara tidak langsung merupakan satu penghargaan kepada kakitangan yang menerima AKC lantaran oleh kerana sumbangan merekalah kualiti perkhidmatan awam telah meningkat.

Saya bersetuju bahawa ada berlaku peningkatan dan peningkatan adalah sesuatu yang positif. Peningkatan bermakna kemajuan dan kemajuan bermakna ada membuat kerja. Namun apabila melihat di dalam skop yang lebih luas, markah 57% menandakan kerja yang dibuat tak cukup. Ruang yang ada masih banyak yang perlu diperbaiki. Ruang yang perlu diperbaiki ini cukup luas. Daripada sistem pengurusan sehinggalah kepada 'parking' pelawat perlu diurus dengan baik. Jika ditanya kepada yang berada dikerusi empuk, tentulah jawapannya semua ok, semuanya baik.

Jangan hanya ditekankan kepada perkhidmatan kaunter dan bukan juga pada kecepatan mengangkat gagang telefon kerana itu semua perkara enteng dan mudah. Cuba perhalusi dan cerminkan perkara-perkara yang lebih penting. Sebagai contoh pertindihan skop, pertindihan dasar, birokrasi dasar dan berbagai lagi. Seperti yang telah dijelaskan, masih banyak ruang untuk diperbaiki. Hendak tak hendak, tau tak tau.

Takkanlah dengan segala kecanggihan yang ada pada sistem serba moden ini, kualiti perkhidmatan awam hanya bertaraf C+.

No comments: