Monday, January 21, 2008

Pakaian Batik

Bermula 17 Januari 2008, satu arahan untuk memakai pakaian batik pada setiap hari Khamis dikeluarkan. Pakaian batik tidak ada hal, namun untuk membeli pakaian batik ramai yang ada hal. Cerita ini diulas juga oleh blog ini.

Namun saya percaya batik Emmer Zecna tersebut merupakan kategori batik yang termasuk dalam kategori ini. Ramai sebenarnya yang bukan saja-saja membeli batik kategori ini tetapi terpaksa kerana harganya yang lebih berpada-pada berbanding batik Malaysia bertulisan tangan yang lebih mahal harganya.

Setelah diteliti, batik Malaysia/tempatan berharga di dalam lingkungan RM100 ke atas. Kepada mereka di dalam peringkat atasan, harga ini masih di dalam ruang kemampuan mereka tetapi tidak bagi sejumlah besar kakitangan pada peringkat rendah.

Oleh itu mungkin satu kaedah untuk bagi memastikan batik tempatan mampu dimiliki ramai ialah dengan mengurangkan harga batik tempatan disamping mengadakan jualah khas kepada pekerja gomen.

Namun begitu, kaedah yang dicadangkan oleh CUEPACS juga sekiranya tidak membebankan kerajaan, amat dialu-alukan oleh pekerja gomen.

Sunday, January 20, 2008

SKT

Memang begini keadaannya. Apabila tiba musim awal tahun maka bermulalah pusingan baru dalam kalendar kita. Tidak kiralah kalendar apa yang kita gunakan, intipatinya tetap sama dan berulang-ulang.

Maka bermulalah musim untuk mengisi sasaran kerja tahunan atau lebih popular dengan nama SKT. Apa pula SKT ini?

Dengan bahasa yang mudah, SKT ini merupakan sasaran tugasan untuk disempurnakan pada tahun tersebut. Apabila kita telah meletakkan sasaran, maka sasaran tersebut harus cuba dicapai agar prestasi kerja kita memuaskan.

Jadi bukankah ini serupa dengan KPI yang diheboh-hebohkan sejak kebelakangan ini? Memang serupa sahaja, cuma untuk menjadikan ianya lebih nampak 'pengurusan ala-ala Harvard Business School' maka adalah pula idea ini diperkenalkan.

Jadi sebenarnya, perkhidmatan awam telah lama mengamalkan KPI cuma ruang yang perlu diperbaiki ialah pemahaman terhadap pelaksanaan KPI tersebut.

Nampaknya kena berundur dahulu, kerana masih banyak SKT yang perlu dilihat dan diperkemaskan..

Friday, January 4, 2008

Perhimpunan

Perhimpunan merupakan perkara yang agak sensitif kepada sesetengah pihak di dalam tahun 2007. Pelbagai gelaran perhimpunan diberikan dan di antaranya ialah perhimpunan haram, perhimpunan jalanan, demonstrasi, atau perhimpunan tanpa permit. Seperti biasa pekerja gomen dilarang mengahadiri semua perhimpunan yang disebut tadi kerana hanya dibenarkan menghadiri perhimpunan bulanan.

Itulah satu-satunya perhimpunan yang boleh dihadiri dan perlu dihadiri oleh pekerja gomen sehinggakan boleh dikenakan amaran jika tidak hadir ke perhimpunan tersebut. Perhimpunan bulanan ini sebenarnya ada fungsi dan kepentingannya terhadap sektor awam. Ia merupakan satu kaedah bagi ketua-ketua Jabatan untuk menyampaikan pesanan dan ucapan kepada seluruh pekerja gomen di organisasi masing-masing.

Namun begitu apabila dikumpulkan seramai lebih kurang 700 ke 800 orang pekerja gomen daripada seluruh Malaysia, tentulah ada perkara yang penting untuk dibincangkan. Ini juga merupakan satu peluang kepada mereka yang terpilih itu untuk menyampaikan atau sekurang-kurangnya menyatakan secara terus dengan pihak atasan masalah serta cadangan daripada mereka.

Langkah untuk mengadakan majlis ini juga akan menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kakitangan mereka. Itulah yang diharapkan oleh lebih 700 pekerja gomen yang hadir ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada hujung Disember 2007 yang lalu.

Selain daripada ucapan standard yang diberikan, ruang untuk berdialog telah disempitkan. Peluang untuk bersama KPPA ini seolah-olah hanya dijadikan satu perhimpunan bulanan sahaja tarafnya.

Sepatutnya lebih ruang diberikan kepada pekerja gomen yang hadir untuk sama-sama menyertai perjalanan majlis ini. Tambahan pula kehadiran mereka adalah daripada seluruh negara.

Jika hanya lokasinya di sebuah kawasan bertaraf antarabangsa tetapi pengisiannya hanya bertaraf 'Darfur', majlis ini menjadi satu lagi majlis yang mengecewakan. Jika ada perancangan untuk mengadakannya lagi pada tahun 2008 ini, baikilah ia.

Jangan anda juga di'penyapu'kan.