Tuesday, August 28, 2007

Pelan Strategik IPTA

Kerajaan mula melancarkan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara semalam bagi mencetuskan pembaharuan dan transformasi kepada semua IPT di negara ini. Elok juga bila difikirkan bahawa IPT-IPT memang seharusnya dilepaskan dari belenggu-belenggu tertentu yang mungkin merencatkan suasana yang kondusif di IPT.

Antara langkah yang dikenalpasti ialah meningkatkan tadbir urus sediri di kalangan IPTA. Langkah ini akan membolehkan IPTA diberikan lebih autonomi di dalam beberapa perkara tertentu dan para-para Naib Canselor tentulah menyambut baik langkah ini.

Aspek tadbir urus berkesan turut menekankan kepada pemilihan pegawai yang sesuai serta individu yang komited, efisien dan berintegriti. Untuk menyemai tadbir urus berkesan ini, adalah dipercayai ianya perlu bermula daripada pemilihan pegawai-pegawai tertinggi yang meneraju universiti itu sendiri.

Pemilihan pegawai-pegawai tinggi seperti NC dan TNC di IPTA memperlihatkan sedikit ketidaktelusan di dalam pemilihannya. Kriteria-kriteria yang selayaknya perlu ditetapkan bagi menjamin yang memegang tampuk peneraju IPT tersebut merupakan yang layak mengikut falsafah sebenar.

Bukan juga niat untuk mengatakan bahawa semua NC dan TNC tidak layak untuk berada di kerusi tersebut tetapi masih banyak ruang dan koridor dapat dilihat dan dipertikai oleh masyarakat IPT.

Sekarang inipun, isu Dr. Azly Rahman yang juga selalu dilaporkan oleh Malaysiakini dengan salah sebuah universiti di utara Malaysia juga masih belum selesai. Seharusnya ini dijadikan salah satu inisiatif bagi menjayakan projek 'BrainGain' iaitu memanggil pulang pakar-pakar Malaysia yang sedang berada diluar negara berkhidmat di Malaysia. Tetapi sehingga kini, tidak dapat dilihat satu usaha yang menyeluruh mengenai usaha ini.

Mengikut blog Univerct memang sukar untuk menaiki taraf Profesor di universiti. Berbagai-bagai penyelidikan dan tugasan yang perlu diselesaikan

Tugas pensyarah meliputi: Pengajaran, penyeliaan pelajar undergrad, postgrad dan post-doctorate, penyelidikan, pengembangan (consultancy), khidmat masyarakat, pentadbiran, seminar/proceedings, khidmat sbg ahli persatuan profesional dan paling penting untuk kenaikan pangkat- penerbitan serta lain-lain tugas seperti felo asrama, felo pusat kecemerlangan/penyelidikan dan lain-lain tugas seperti yang diarahkan oleh pimpinan organisasi.

Melalui pemberian kuasa autonomi, kita tidak mahu lagi ada Naib Canselor yang dilantik bukan daripada kalangan ahli akademik. Tentu ramai yang tidak menyedari bahawa ada Naib Canselor IPT tidak pun perlu bersusah payah memberi kuliah, penyelidikan, post-doctorate dan lai-lain lagilah tetapi boleh pula menjadi Naib Canselor di IPT awam. Pemilihan mereka ini sebenarnya mengundang banyak kelemahan dan keraguan di kalangan masyarakat akademik. Keyakinan ahli akademik terhadap Kerajaan pada masa tersebut berada di tahap terendah.

Kita tidak tahu apa yang melayakkan mereka duduk disana. Kita juga tidak tahu apa keriteria yang meyebabkan mereka duduk di sana. Kita juga tidak tahu kenapa mereka sanggup menerima jawatan tersebut sedangkan tahu bahawa diri tidak seharusnya duduk di sana.

Apabila kerajaan memilih perkara sedemikian, lalu menyalahkan prestasi IPT yang tidak berada dalam 'ranking' yang baik tentulah tidak adil bagi para ahli akademik. Adakah dalam masa tiga tahun lagi kita bakal mencapai ojektif sekurang-kurangnya dua IPT berada di dalam senarai 100 terbaik? Memang memerlukan transformasi...

Apa yang menariknya, seperti ramai di dalam sektor awam sedar, golongan yang menduduki kerusi Naib Canselor ini adalah daripada golongan yang memiliki strategi monopoli jawatan-jawatan utama di sektor awam. Strategi monopoli ini telah dijelaskan dan dapat dilihat hasilnya serta kesan yang berlaku. Tidak meletakkan sesuatu yang AHLI pada tempatnya telah dilaksanakan.

Usahlah jika kail panjang sejengkal, lautan dalam hendak diduga. Usahlah demi strategi tertentu, habis rosak susu sebelanga.












Tuesday, August 21, 2007

Peluang menceburi perguruan

Sekarang ini memang susah untuk menjadi seorang guru. Syarat-syaratnya amat ketat memandangkan guru ini menjadi satu profesion yang diminati ramai.

Pelbagai halangan perlu ditempuhi sebelum boleh digelar pendidik. Mulai tahun 2007, calon-calon yang berminat perlu dahulu menduduki ujian MedSI. Hanya selepas lulus ujian MedSI ini barulah calon-calon tersebut akan ditemuduga. Selepas lulus temuduga barulah calon-calon tersebut layak untuk diterima mengikuti kursus untuk menjadi guru.

Wah...bagitu ketat sekali proses pemilihannya. Kepada calon yang lepasan SPM, bolehlah memohon untuk menduduki pengajian peringkat ijazah Sarjana Muda Pendidikan di IPTA tempatan yang akan mengambil masa selama 4 tahun.

Bagi yang telah memiliki ijazah, boleh memohon untuk mengikuti Diploma Pendidikan di IPTA yang akan mengambil masa selama setahun. Program ini adalah menyerupai program KPLI sebelum ini. Tarikh tutup kedua-dua program ini ialah 10 September 2007.

Bezanya sekarang ini, Kem. Pelajaran akan bertanggungjawab bagi urusan guru di sekolah rendah manakala IPTA (MOHE) bagi guru di sekolah menengah, politeknik, kolej komuniti dan kolej matrikulasi.

Sekali pandang kelihatan seolah-olah ada yang tidak kena apabila sekolah menengah dan kolej matrikulasi yang dibawah MOE dipertanggungjawabkan kepada MOHE. Ini kerana yang menyelaraskannya adalah satu bahagian di MOHE iaitu bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar. Namun diharapkan, MOHE melalui bahagian PKP ini hanya menjalankan tugas meyelaras sahaja iaitu tugas yang rutin dan mudah serta latihannya oleh IPTA. Apa yang lebih penting ialah perancangan sumber manusianya adalah daripada kerjasama Jabatan Pelajaran dan Jabatan Pengajian Tinggi.

Tidak mahu lagi kedengaran ada lulusan Sarjana Muda Pendidikan daripada IPTA yang terkapai-kapai tidak dapat menjadi guru hanya kerana salah faham diperingkat pembuat dasar hanya kerana mereka tidak ditaja oleh pihak Kementerian yang berkaitan. Yang menjadi mangsa ialah pelajar-pelajar ini yang selama 4 tahun menuntut ilmu pendidikan di IPTA hanya melihat rakan lain melalui KPLI bersorak gembira.

Pengurusan sumber manusia yang berkesan perlu dititikberatkan di dalam menjayakan keperluan guna tenaga perguruan yang optima

Friday, August 10, 2007

Umur Bersara

Kalau diikutkan cakap-cakap akhbar, umur persaraan akan diumumkan bila-bila masa. Ini katanya JPA dah selesai membuatkan kajian dan telah menyerahkan hasil kajiannya kepada kerajaan. Bagaimana kajian tersebut dibuat, usah ditanya. Siapa yang menyiasat dan mengkaji, juga usah ditanya. Yang pasti bukannya ASP yang disebut oleh Hakim itu.

Jika melihat kepada kenyataan akhbar JPA, seolah-olah telah tahu akan keputusannya. Tetapi usahlah kita menimbulkan spekulasi dan dikatakan cuba mendahului zaman. Umur persaraan merupakan satu isu, siapa yang layak merupakan isu yang lain. Ada cadangan agar hanya beberapa perkhidmatan tertentu sahaja diberikan pencen sehingga 60 tahun seperti cadangan Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah. Beliau juga mencadangkan agar pemeriksaan khas diadakan bagi menguji keupayaan fizikal dan kesihatan pekerja gomen tersebut.

Beliau juga menyenaraikan sektor dalam kerajaan yang masih memerlukan mereka yang berpengalaman untuk terus kekal berkhidmat seperti peguam, jurutera, juru program, doktor, guru dan pensyarah.

Melihat kepada keadaan ini, adanya keperluan bagi sektor-sektor tertentu untuk menaikkan umur persaraan selaras dengan kepakaran sektor tersebut dan tentunya bagi mengurangkan kesan kepada masalah pengangguran yang sedang berlaku sekarang, ada juga pihak yang kurang bersetuju dengan cadangan umur persaraan ini.

Dengan isu VSS yang masih diperkatakan ini, cadangan umur persaraan ke 60 boleh dipertimbangkan kepada pekerja gomen dengan beberapa syarat. Bukan seperti tahun 2001 dahulu dimana semua pekerja gomen diberi opsyen. Itu merupakan kaedah pukul rata. JPA perlu memperincikan keperluan sektor-sektor berkaitan dan bukannya semua sektor secara umum. Setakat ini hanya Hakim yang boleh bersara diumur lebih daripada pekerja gomen biasa.
Jika dilihat umur persaraan dibeberapa negara lain, India pada bulan Julai 2007 telah meningkatkan umur persaraan daripada 58 kepada 60 tahun, Jepun pula 65, Singapura 62, Jerman 65 dan akan menuju ke 67.







Tuesday, August 7, 2007

VSS Sektor Awam

Cerita pasal VSS ni dah mula heboh. Baguslah kalau orang heboh-heboh menunjukkan ramai yang peka dengan isu-isu pekerja gomen. Dengan berkapasiti 1.2 juta pekerja, mestilah ramai yang tunjukkan keprihatinan.

Mulanya ia dicetuskan oleh KSN di dalam satu ucapannya. Ia sebenarnya merupakan cadangan sahaja dan saya pasti KSN hanya 'test market' dahulu. Cadangan ini mungkin terhasil daripada pengamatan KSN bahawa terdapat ramai 'deadwood' atau 'penyapu buruk' dalam sektor awam ini.

Walaupun demikian sebenarnya KSN memberikan amaran kepada semua Ketua-Ketua Jabatan/Organisasi yang selama ini kurang memberikan tumpuan ke arah peningkatan produktiviti pekerja mereka. Ia sebenarnya berpunca daripada kurangnya penyeliaan yang berkesan daripada boss-boss di gomen ini. Kurangnya penyeliaan terhadap para pekerja gomen yang bermasalah ini menimbulkan tabiat 'Tak Pa' dan ditambah lagi jika ada jabatan yang mempunyai boss yang sendirinya kurang berdisiplin.

Ramai yang telah menyedari bahawa telah ada panduan-panduan untuk mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap pekerja bermasalah ini. Ini telah terkandung di dalam peraturan tatatertib perkhidmatan awam yang semua pekerja gomen telah maklum mengenainya. Ia juga merupakan soalan popular bagi ujian PTK.

Oleh itu apa masalahnya? Mengapa tidak dilaksanakan panduan-panduan tersebut? Ini mungkin berlaku kerana Ketua-Ketua Jabatan merasakan tindakan sebegini akan membuang masa dan tenaga, tindakan ini juga membuatkan mereka kurang popular, oleh itu segala masa dan tenaga yang ada perlu dijuruskan kepada perkara lain yang boleh menaikkan imej dan seterusnya jawatan mereka. Jadi tindakan 'melepas batuk' yang diambil ialah meletakkan masalah itu di tempat lain.

Tindakan ini juga sebenarnya boleh bersifat duri dalam daging. Jika ada pekerja gomen yang mungkin bekerja secara jujur tetapi tidak disenangi oleh ramai yang tidak jujur (sekadar contoh, saya tidak mahu memasukkan elemen politik) oleh itu pekerja gomen itu ditukarkan.

Selain daripada amaran tersembunyi KSN mengenai VSS ini, apa rasionalnya cadangan tersebut. Seorang pembaca NST ada mengatakan bahawa 'pekerja cemerlang yang kecewa' juga akan mengambil kesempatan dan meninggalkan sektor awam. Perkara ini perlu diberi perhatian kerana terdapat ramai di dalam pekerja gomen yang sememangnya lebih baik dan amat berpotensi tetapi tidak diberikan ruang yang sepatutnya.

Jika ada kajian mengenai perkara ini, ia seharusnya diberi perhatian yang serius dan mendalam. Juga para pengkaji-pengkaji tersebut perlu memiliki kepakaran yang meluas dan bukan hanya terhad kepada satu skim yang itu sahaja. Ini adalah kerana kajian tersebut akan memberikan impak dan kesan yang besar kepada keseluruhan sektor awam.




Thursday, August 2, 2007

Promosi Viva untuk Pekerja Gomen

Perodua dan Bank Rakyat mengadakan promosi untuk pekerja gomen membeli Viva. Promosi ini juga sempena Kemerdekaan Ke-50 Malaysia. Skim ini juga memberikan pinjaman sehingga 100% untuk pekerja gomen.

Bagi pekerja gomen yang memiliki kemampuan yang terhad bolehlah merujuk kepada laman web Perodua untuk makluman lanjut.

Ingat, berbelanja dengan bijak. Tempoh yang terlalu lama bakal menjemukan.

Wednesday, August 1, 2007

Hospital Kuala Lumpur

Dalam masa beberapa hari kebelakangan ini saya begitu bagaikan dipanggil oleh beberapa hospital di sekitar Kuala Lumpur. Terkejar kesana ke mari untuk memenuhi beberapa perkara berkaitan kesihatan.

Saya ada berkunjung ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selama beberapa hari. Di HKL, masalah utama yang akan ditemui ialah masalah tempat meletak kereta. Perkara ini memang tidak dapat dielakkan kerana HKL sememangnya menjadi tumpuan ramai terutamanya wargakota. Oleh itu di dalam kunjungan saya ke sana, barulah saya menyedari bahawa tempat meletak kereta di HKL telah mula dikenakan bayaran. Kadar bayarannyaadalah berpatutan dan jika pengunjung telah berpusing dan tidak dapat meletakkan kereta (ada tempoh tertentu) maka tidak akan dikenakan sebarang bayaran.

Satu lagi kaedah yang diambil untuk mengurangkankesesakan ialah dengan menjadikan jalan-jalan di dalam kawasan sekitar HKL sebagai jalan sehala. Jika dibandingkan dengan dulu, memang keadaannya lebih kronik dengan kenderaan bersimpang siur di dalam kawasan HKL.

Walaupun demikian, suasana di dalam wad kelihatan agak menyedihkan. Jika dibandingkan dengan statusnya hospital yang utama, lebih banyak projek naik taraf perlu diluluskan untuk HKL ini. Wad yang sempat saya lihat adalah wad kelas 3.

Jika dilihat dengan keadaan semasa, orang yang tidak sakit pun boleh merasa sakit di dalam wad ini. Suasana yang tidak kondusif untuk proses penyembuhan akan merencatkan lagi tempoh penyembuhan.

Apabila melihat kepada para pekerja gomen hospital, mereka semangnya bertungkus lumus untuk merawat para pesakit. Dengan jumlah pesakit yang begitu ramai, tentulah macam-macam kerenah dapat dilihat. Walaupun begitu, para pekerja gomen ini perlu diucapkan tahniah kerana waktu makan tengahari mereka pun biasanya agak lewat. Ini semua adalah untuk memastikan rawatan yang sewajarnya diberikan kepada para pesakit.

Sebelum keluar daripada wad, caj bayaran rawatan perlu dijelaskan. Dengan rawatan yang diperolehi dan kadar bayarannya hanyalah RM3 sehari (termasuk makan minum), saya merasa sungguh terharu. Sememangnya murah dan diharapkan agar kadar sebegini dapat dikekalkan lagi untuk masa-masa akan datang. Hasrat untuk menjadikan hospital kerajaan 'full paying hospital' perlu dikaji sedalam-dalamnya. Untuk kadar bayaran lengkap, bolehlah merujuk kepada laman web HKL.

Saya juga akan bersetuju jika pekerja gomen di hospital kerajaan diberikan pengiktirafan yang sewajarnya lebih daripada sekarang di atas kerjaya murni mereka. Bukan hanya terhad kepada doktor, tetai juga kepada para jururawat, ahli farmasi, pegawai sains, MLT, pegawai dietitik dan ramai lagi.

Sesungguhnya pemergian mereka ini ke swasta akan merugikan kerajaan serta majoriti rakyat Malaysia.