Sunday, October 7, 2007

Boikot barangan mahal

Setiap tahun kita akan melalui 'orde' yang sama. Ianya akan berulang-ulang selagi hayat dikandung badan. Tiap tahun menyambut hari perayaan samada Tahun Baru Cina, Deepavali, Aidilfitri, Hari Natal, Hari Gawai dan sebagainya.

Namun 'orde' kali ini agak berbeza dengan kenaikan kos sara hidup yang semakin tinggi. Harga barang yang meningkat mula terasa semenjak bermula musim bulan ramadan. Ianya dikejutkan dengan harga ayam yang diistiharkan naik.

Sebenarnya sudah banyak harga barangan yang naik tetapi tidak diwar-warkan kerana mungkin bukan barang kawalan. Sebagai contoh, harga susu pekat sudah mencecah RM 2.30 sedangkan harga sebelum ini ialah RM1.90. Itu belum dikira harga lampin pakai buang, susu bayi, makanan di pasar ramadan dan banyak lagi.

Salah satu cara yang selalu disebut-sebut ialah berbelanja dengan bijak. Untuk berbelanja dengan bijak memerlukan pengguna yang bijak. Pengguna yang bijak ialah pengguna yang menggunakan kuasa membeli secara teratur dan berorganisasi. Langkah Cuepacs dan MTUC menganjurkan program boikot perlu disokong. Bukannya dengan menyindir tindakan ini sedangkan kebaikannya untuk manfaat semua.

Walaupun siapa sahaja yang menganjurkannya, saya akan menyokong kerana ia adalah untuk kebaikan semua. Mungkin kita perlu melihat serta mencontohi budaya kepenggunaan yang amat tinggi di U.K. Kali ini saya sendiri hanya membeli ayam sekali di dalam tempoh bulan ramadan ini serta hanya singgah ke pasar ramadan tiga kali sahaja. Di pasar ramadan, memang menakutkan melihatkan kepada harganya. Dengan RM18 ringgit, saya hanya mendapat 4-5 barangan sahaja yang bertaraf makanan sampingan. Tak perlulah disebut apa yang saya beli ...tetapi sebagai contoh harga ayam golek tahun ini ialah RM15 seekor.

Memang sukar untuk memilih menjadi pengguna bijak jika hanya beberapa kerat yang terlibat. Pengguna lain juga harus mainkan peranan dan bersama-sama meneruskan tindakan ini.

No comments: