Tuesday, October 16, 2007

Angkasawan Negara ialah Pekerja Gomen


Selaku pekerja gomen, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada angkasawan negara, Dr. Sheikh Muszaphar yang telah selamat berada di ISS ketika ini. Tahniah juga buat Kapt. Dr. Faiz Khaleed yang merupakan calon akhir angkasawan negara.

Kedua-dua mereka membuktikan bahawa pekerja gomen bukan terdiri daripada calang-calang orang. Bukan seorang tetapi dua orang yang menjadi calon akhir peserta angkasawan negara. Seorang berkhidmat di HUKM manakala seorang lagi merupakan anggota tentera.

Seperti yang telah dinyatakan di sini, ramai di kalangan pekerja gomen sebenarnya terdiri daripada mereka yang berkebolehan dan berkeupayaan. Kedua-dua mereka ini telah membuktikan perkara ini jika diberikan peluang. Cuma pekerja gomen yang berkebolehan dan berkeupayaan ini tidak dapat menunjukkan keupayaan mereka di dalam sektor awam disebabkan oleh perkara-perkara tertentu. Tetapi saya yakin dan percaya, jika padang rata yang dihamparkan di dalam sektor awam, sektor awam akan berkembang maju dengan lebih pesat. Padang rata ini tentulah tidak mengehadkan kepada skim-skim tertentu sahaja untuk memonopoli peluang-peluang tertentu.

Berbalik kepada program Angkasawan Negara, ada pandangan daripada beberapa pihak yang kurang bersetuju dengan program ini. Dengan mengatakan kos tinggi yang dibelanjakan iaitu sebanyak RM95 juta. Dengan RM95 juta memang macam-macam lagi yang boleh dibelanjakan di negara kita ini. Tapi sebenarnya juga bukan mudah untuk memohon sesebuah negara mengizinkan warganegara lain menggunakan kemudahan yang telah dibangunkan dengan begitu teliti dan penuh rahsia. Kemudahan angkasa lepas tersebut daripada latihan, peralatan, stesen perlepasan, teknologi, stesen angkasa lepas dan berbagai lagi yang tidak terjangkau oleh negara yang baru 50 tahun merdeka.

Tentu kita memerlukan satu jalan pintas untuk menyelami rahsia angkasa lepas dan dengan cara ini diharapkan ia dapat menjadi pemangkin kepada generasi seterusnya untuk menarik minat mereka. Saya juga mengharapkan jika ada program seterusnya, pihak berkenaan dapat mengambilkira kos yang telah banyak diperkatakan ini.

Mengenai eksperimen yang dijalankan di angkasa tersebut, kelebihan dan kepentingan eksperimen ini akan hanya terjawab dengan hasil keputusan yang akan dibawa balik oleh Sheikh Muszaphar. Pihak yang tidak mengetahui akan cepat melatah dengan mengatakan eksperimen ini tidak membawa manfaat kepada negara.

Sebelum mengatakan sedemikian, eksperimen ini dilakukan di angkasa lepas untuk mendapatkan tindakbalas yang bakal berlaku terhadap diri angkasawan, barah, protein dan bakteria semasa di dalam keadaan mikrograviti.

Jika didapati hasilnya positif, langkah seterusnya dapat diteruskan dengan melaksanakan kajian di bumi di dalam persekitaran mikrograviti. Untuk menyediakan persekitaran mikrograviti ini memerlukan perbelanjaan yang besar. Oleh itu, kajian tersebut boleh dijadikan sebagai kajian awal pengesanan sel di dalam keadaan mikrograviti ini. Banyak kemungkinan boleh berlaku di dalam keadaan mikrograviti tetapi itu cerita lain.

Mengenai istilah tersebut, boleh rujuk di wiki. Secara umumnya, seseorang yang sedang mengikuti pengajian di universiti tidak akan digelar siswazah jika belum menerima ijazah di majils konvokesyen. Begitu juga jika belum menamatkan ekspedisi di angkasa lepas, tentulah belum boleh dikatakan sebagai angkasawan. Selepas ini tentulah istilah angkasawan atau cosmonaut akan menjadi lebih tepat.

Akhir sekali, gambar di atas menunjukkan negara yang telah menghantar warganegaranya ke angkasalepas.

No comments: