Friday, August 10, 2007

Umur Bersara

Kalau diikutkan cakap-cakap akhbar, umur persaraan akan diumumkan bila-bila masa. Ini katanya JPA dah selesai membuatkan kajian dan telah menyerahkan hasil kajiannya kepada kerajaan. Bagaimana kajian tersebut dibuat, usah ditanya. Siapa yang menyiasat dan mengkaji, juga usah ditanya. Yang pasti bukannya ASP yang disebut oleh Hakim itu.

Jika melihat kepada kenyataan akhbar JPA, seolah-olah telah tahu akan keputusannya. Tetapi usahlah kita menimbulkan spekulasi dan dikatakan cuba mendahului zaman. Umur persaraan merupakan satu isu, siapa yang layak merupakan isu yang lain. Ada cadangan agar hanya beberapa perkhidmatan tertentu sahaja diberikan pencen sehingga 60 tahun seperti cadangan Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah. Beliau juga mencadangkan agar pemeriksaan khas diadakan bagi menguji keupayaan fizikal dan kesihatan pekerja gomen tersebut.

Beliau juga menyenaraikan sektor dalam kerajaan yang masih memerlukan mereka yang berpengalaman untuk terus kekal berkhidmat seperti peguam, jurutera, juru program, doktor, guru dan pensyarah.

Melihat kepada keadaan ini, adanya keperluan bagi sektor-sektor tertentu untuk menaikkan umur persaraan selaras dengan kepakaran sektor tersebut dan tentunya bagi mengurangkan kesan kepada masalah pengangguran yang sedang berlaku sekarang, ada juga pihak yang kurang bersetuju dengan cadangan umur persaraan ini.

Dengan isu VSS yang masih diperkatakan ini, cadangan umur persaraan ke 60 boleh dipertimbangkan kepada pekerja gomen dengan beberapa syarat. Bukan seperti tahun 2001 dahulu dimana semua pekerja gomen diberi opsyen. Itu merupakan kaedah pukul rata. JPA perlu memperincikan keperluan sektor-sektor berkaitan dan bukannya semua sektor secara umum. Setakat ini hanya Hakim yang boleh bersara diumur lebih daripada pekerja gomen biasa.
Jika dilihat umur persaraan dibeberapa negara lain, India pada bulan Julai 2007 telah meningkatkan umur persaraan daripada 58 kepada 60 tahun, Jepun pula 65, Singapura 62, Jerman 65 dan akan menuju ke 67.







No comments: