Friday, January 4, 2008

Perhimpunan

Perhimpunan merupakan perkara yang agak sensitif kepada sesetengah pihak di dalam tahun 2007. Pelbagai gelaran perhimpunan diberikan dan di antaranya ialah perhimpunan haram, perhimpunan jalanan, demonstrasi, atau perhimpunan tanpa permit. Seperti biasa pekerja gomen dilarang mengahadiri semua perhimpunan yang disebut tadi kerana hanya dibenarkan menghadiri perhimpunan bulanan.

Itulah satu-satunya perhimpunan yang boleh dihadiri dan perlu dihadiri oleh pekerja gomen sehinggakan boleh dikenakan amaran jika tidak hadir ke perhimpunan tersebut. Perhimpunan bulanan ini sebenarnya ada fungsi dan kepentingannya terhadap sektor awam. Ia merupakan satu kaedah bagi ketua-ketua Jabatan untuk menyampaikan pesanan dan ucapan kepada seluruh pekerja gomen di organisasi masing-masing.

Namun begitu apabila dikumpulkan seramai lebih kurang 700 ke 800 orang pekerja gomen daripada seluruh Malaysia, tentulah ada perkara yang penting untuk dibincangkan. Ini juga merupakan satu peluang kepada mereka yang terpilih itu untuk menyampaikan atau sekurang-kurangnya menyatakan secara terus dengan pihak atasan masalah serta cadangan daripada mereka.

Langkah untuk mengadakan majlis ini juga akan menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kakitangan mereka. Itulah yang diharapkan oleh lebih 700 pekerja gomen yang hadir ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada hujung Disember 2007 yang lalu.

Selain daripada ucapan standard yang diberikan, ruang untuk berdialog telah disempitkan. Peluang untuk bersama KPPA ini seolah-olah hanya dijadikan satu perhimpunan bulanan sahaja tarafnya.

Sepatutnya lebih ruang diberikan kepada pekerja gomen yang hadir untuk sama-sama menyertai perjalanan majlis ini. Tambahan pula kehadiran mereka adalah daripada seluruh negara.

Jika hanya lokasinya di sebuah kawasan bertaraf antarabangsa tetapi pengisiannya hanya bertaraf 'Darfur', majlis ini menjadi satu lagi majlis yang mengecewakan. Jika ada perancangan untuk mengadakannya lagi pada tahun 2008 ini, baikilah ia.

Jangan anda juga di'penyapu'kan.

No comments: