Thursday, September 6, 2007

Cuti Bersalin 5 Tahun?

Wah, tentu ramai kaum ibu yang gembira apabila mendengarkan bahawa cuti bersalin dilanjutkan selama 5 tahun. Moga yang belum berkahwin akan segera berkahwin dan yang belum menimang cahaya mata akan berusaha gigih untuk menimang cahaya mata.

Memang betul cuti tersebut akan dilanjutkan selama lima tahun tetapi cuti tersebut adalah cuti tanpa gaji yang bertujuan untuk menjaga anak. Rasanya tidak ada apa yang menariknya mengenai pengumuman ini kerana dipercayai hanya segelintir sahaja pekerja gomen yang mungkin akan memanfaatkan keistimewaan ini. Walaupun demikian, kewujudan pekeliling ini tetap disambut baik daripada tidak ada langsung.

Benar juga kata Cuepacs bahawa mereka terkejut dengan pengumuman ini kerana ia hanyalah 'feel good news' kepada pekerja gomen. Yang akan mengambil cuti tersebut pula perlu memikirkan dalam jangka masa panjang disebabkan dalam tempoh tersebut mereka tidak akan mempunyai pendapatan sedangkan kos untuk membesarkan bayi terutamanya adalah agak tinggi. Tiada pendapatan tentu tiada ketenangan.

Kesan daripada cuti tersebut juga menyebabkan tempoh perkhidmatan terputus lalu memberi kesan kepada kekananan seseorang. Ini juga faktor yang perlu diambil kira. Kita tidak menyatakan bahawa kerja itu lebih penting daripada menjaga anak kerana semua orang tahu yang mana lebih bermakna.

Disamping itu juga jika dilihat kepada pekeliling tersebut, seseorang itu akan mendapat 3 kali kenaikan gaji isyarat selama mengambil cuti tersebut. Ini bermakna, jika cukup tempoh yang ditetapkan, pergerakan gaji tahunan akan berjalan seperti biasa sepanjang tempoh tersebut dan gaji tersebut akan diperolehi hanya selepas melapor diri untuk bertugas.

Jika dikaji, apa amat diperlukan oleh para ibu-ibu ialah seperti mana yang berlaku di Sweden iaitu cuti bersalin selama 3.5 bulan, Singapore, 3 bulan manakala Hong Kong 2.5 bulan. Kesemua ini adalah cuti bersalin bergaji penuh. Tempoh yang dikira sesuai ini boleh diambil kira di dalam memberikan cuti bersalin kepada pekerja gomen. Setakat ini hanya kerajaan Negeri Kelantan yang sedang mengkaji tempoh yang lebih panjang daripada 2 bulan.

No comments: