Sunday, September 9, 2007

Pekerja kontrak JUSA

Sebenarnya kita masih tidak menguasai ilmu menyelesaikan masalah.

Mengikut kata PM, untuk meningkatkan lagi prestasi perkhidmatan awam, kaedah yang dikatakan telah berjaya diaplikasikan kepada GLC akan digunakan. Kaedah ini berjaya mentransformasikan GLC untuk mengamalkan budaya berprestasi tinggi termasuk juga di dalam menggunakan satu indeks yang dinamakan sistem prestasi utama (KPI).

Oleh itu, cadangan yang diberikan ialah dengan menawarkan skim kontrak kepada semua KSU dan Ketua Perkhidmatan selama 3 tahun dan ditambah lagi dengan ganjaran jika menunjukkan prestasi yang baik.

Melalui cadangan ini kelihatan seolah-olah pekerja gomen tersebut tidak dapat menunjukkan prestasi yang baik kerana tidak cukup masa. Alasan yang diberikan kepada PM mungkin disebabkan kerana tempoh menjadi KSU adalah lebih kurang dalam tempoh 1-1.5 tahun, maka tidak banyak yang dapat dilakukan oleh KSU tersebut. Jadi 'masa' yang dipertanggungjawabkan di atas 'kegagalan' tersebut.

Disini izinkan saya untuk memberikan sedikit scenario yang mungkin, saya jelaskan lagi yang mungkin berlaku bagi mengatasi perkara ini. Saya tidak menghadiri mana-mana mesyuarat (siapalah kita) dan oleh itu saya tidak tahu apa yang berlaku jika ada perbincangan atau mesyuarat untuk mendapatkan keputusan seperti ini.

Berdasarkan pengamatan, keputusan mengenai perkara ini tentulah dibincangkan ke dalam mesyuarat dan tentunya di dalam mesyuarat tersebut, ianya akan dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan gomen. Iyalah...keputusan yang hebat sebegini tentulah bukan calang-calang orang yang boleh membincangkannya.

Oleh kerana keputusan mengenai perkara ini akan membabitkan perkhidmatan pekerja gomen, mahu tidak mahu kesannya juga akan dirasai oleh para pekerja kanan gomen tersebut. Mereka juga pasti tidak mahu ketinggalan dan mahu juga diberi peluang. Lebih lama menjawat jawatan tersebut tentu lebih baik. Jadi untuk menyelesaikan masalah ini, jalan mudah diambil iaitu dengan skim kontrak tersebut. Kaedah menang-senang!

Entah di mana kurangnya kemahiran kita di dalam menyelesaikan masalah. Bagi menyelesaikan masalah tersebut sebenarnya telah ada mekanisma yang sedia ada iaitu melalui perlanjutan secara kontrak tahun ke tahun. Walaupun di dalam kerja gomen ini, perlanjutan kontrak tidak berapa digemari oleh kebanyakan orang kerana memberi kesan terhadap kerjaya seseorang, tidak dinafikan ada beberapa ketika perlanjutan adalah diperlukan.

Masalah tempoh singkat di KSU itu berpunca daripada 'sistem tempang' yang diamalkan. Maaf kepada semua kerana telah berkali-kali menyebut perkara ini. Sistem yang digunapakai itu memang membuatkan keadaan berlaku sedemikian. Bukan sahaja kepada KSU, malah ada jawatan KP pun menggunakan 'sistem tempang' tersebut.

Senario ini tidak sama dengan GLC yang mana pemilihan CEO atau MD adalah berdasarkan kepada kredibiliti dan kebolehan yang telah ditunjukkan. Sesiapa sahaja yang berkebolehan dan berkredibiliti walau dari mana pun boleh menjadi CEO atau MD kepada GLC. Bagi sektor awam, calon-calon yang layak untuk menjadi KSU seharusnya dipilih secara bijak daripada mereka yang berkelayakan dan bukannya dihadkan kepada segelintir kelompok sahaja. Ini yang membezakan GLC tersebut dengan senario di sektor awam.

Seperti saya dan semua rakyat yang sayangkan perkhidmatan awam ini, seharusnya kita harus jujur di dalam memperkatakan mengenai perkara ini. Kajian harus dilakukan bagi memantapkan lagi perkhidmatan itu sendiri.

'Sebelum negara menjadi maju, sistem perkhidmatan awam harus maju dahulu'.

No comments: