Monday, May 7, 2007

Semangat Hari Pekerja

Bulan ini bulan Mei...bulan Mei lazimnya dikaitkan dengan Hari Pekerja dan Hari Guru walaupun masih ada hari lain seperti Hari Ibu.

Bulan ini memang menjadi perhatian kepada warga kakitangan awam. Ini kerana bulan ini akan diumumkan keputusan kerajaan samada membuat semakan gaji kakitangan awam, isu umur persaraan, skim FPB serta isu PTK.

Mengikut laporan yang diterima, pada 21 Mei ini akan diadakan sambutan Hari Pekerja bagi Kakitangan Awam yang dianjurkan secara bersama (setelah sekian lama...)oleh Cuepacs dan JPA di PICC, Putrajaya.

Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa sebelum ini, Hari Pekerja Perkhidmatan Awam hanya diraikan oleh sebilangan kecil mereka yang 'terpilih'di dalam dewan INTAN Bukit Kiara yang 'kecil' jika dibandingkan dengan jumlah kakitangan awam secara keseluruhan.

Kita tidak nampak apakah signifikasinya dengan mengadakan hari pekerja tersebut jika hanya lebih kurang 400 kakitangan awam sahaja yang menghadiri majlis itu. Para pekerja yang hadir pula merupakan lebih kepada 'pengarah' dan bukannya yang 'pekerja'.

Tidak dinafikan, tetamu jemputan yang dijemput merupakan pimpinan tinggi negara cuma pelaksanaannya yang lemah membuatkan semangat dan kesedaran hari pekerja di dalam sektor awam boleh dikatakan amat malap.

Oleh itu tindakan proaktif Cuepacs merupakan satu langkah pertama di dalam menerapkan semangat Hari Pekerja kepada lebih ramai kakitangan awam. Dengan mengadakannya di PICC, Putrajaya adalah diharapkan bilangan yang bakal hadir dapat digandakan.

Namun usah kita lupa akan pengisian pada hari tersebut. Selain daripada ucapan-ucapan yang saya percaya merupakan acara lumrah, hari tersebut juga boleh diisi dengan bengkel-bengkel yang berteraskan kepada kesatuan sekerja. Sesi taklimat diadakan kepada mana-mana pihak yang berhasrat untuk mewujudkan kesatuan sekerja. Bimbingan dan nasihat daripada kesatuan sekerja lain yang dianggap pakar dapat dicari di sini.

Sesi dialog amat diharapkan. Ramai pekerja sektor awam sentiasa ternanti-nanti sesi dialog ini samada dengan Cuepacs mahupun JPA atau kedua-duanya sekali. Saya percaya pada masa inilah kakitangan awam boleh memberikan komen mahupun kritikan membina secara terus kepada pembuat dasar (JPA).

Oleh itu, adalah diharapkan agar Sambutan Hari Pekerja Kakitangan Awam tahun 2007 akan memberikan satu dimensi baru kepada seluruh kakitangan awam bukan sahaja untuk memfokuskan kepada gaji semata-mata malah lebih daripada itu.

Tentu yang lebih penting ialah 'Integriti Kunci Pembangunan Negara'.

No comments: