Monday, July 28, 2008

Darul Quran ke KSN

Institut Darul Quran merupakan satu institusi pengajian di bawah JAKIM. Setakat ini Darul Quran mengeluarkan kursus pada peringkat sijil dan diploma tahfiz namun mereka juga bercadang untuk menaik taraf Darul Quran ke peringkat Kolej Universiti.

Baru-baru ini berlangsung majlis Konvokesyen Darul Quran ke-17 dan ianya dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, seperti dinyatakan di sini. Dalam ucapannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ada menyatakan;

"Selain memilih kerjaya lazim seperti menjadi imam di masjid dan guru agama di sekolah, siswazah tahfiz juga digalakkan untuk berani menempatkan diri dalam bidang profesional.

"Mereka boleh menceburi bidang arkitek, kejururawatan, arkeologi dan tenaga pakar dalam pelbagai bidang termasuk sains dan teknologi.

"Namun, saya mahu melihat golongan ini memegang jawatan tinggi dalam pentadbiran negara seperti menteri Kabinet atau KSN dalam tempoh dua dekad dari sekarang. "

Itu adalah antara cabaran yang dilemparkan kepada para graduan tahfiz tersebut. Apa yang menariknya ialah ia ada menyebut 'jawatan KSN' yang mana ini menunjukkan bahawa kelayakan untuk menjadi KSN itu boleh dipikul oleh pelbagai pihak termasuklah para siswazah tadi.

Saya merasakan bahawa Menteri tersebut juga sedar bahawa buat masa ini, jawatan KSN tersebut telah disempitkan kepada skim tertentu sahaja dan mungkin ini merupakan satu seruan agar ianya tidak dimonopoli oleh segelintir pihak.

Ia juga selaras dengan saranan dari Presiden Persatuan Badan-Badan Berkanun Malaysia (PBBM) Tan Sri Nordin Kardi (moga lain kali jangan malukan pihak universiti dengan soalan debat kamu itu) bahawa untuk mencari bakat terbaik perlu dilakukan carian dengan lebih menyeluruh.

Jika mengikut keadaan semasa, bakat terbaik kononnya hanya boleh didapati dari satu skim sahaja. Saya jelaskan sekali lagi bahawa ini hanya angan-angan mereka sahaja... yang merasakan sedemikian.

Alangkah baiknya jika rakan-rakan dari JAKIM dapat menjadi KSN jua satu hari nanti.

No comments: