Friday, April 18, 2008

Usaha Cuepacs

Di atas persetujuan lima daripada enam tuntutan Cuepacs yang mewakili pekerja-pekerja gomen, kami mengucapkan terima kasih. Ternyata pihak tertinggi kerajaan masih prihatin terhadap keluhan daripada pekerja-pekerja gomen. Usaha berterusan yang tidak segan harus diberikan penghargaan.

Namun begitu para pekerja gomen harus bersabar di dalam menantikan kaedah-kaedah serta syarat-syarat yang akan dikarang oleh pihak-pihak berkenaan di dalam isu yang berkaitan dengan umur persaraan serta isu PTK. Bagi isu-isu yang lain, ia lebih 'straightforward' seperti elaun kritikal, imbuhan tetap perumahan dan bayaran pencen mengikut tahun perkhidmatan.

Mengenai elaun kritikal tersebut, sebenarnya tidak dijelaskan mengapa elaun tersebut ditarik balik dan kenapa. Mungkin juga tiada rundingan terlebih dahulu (seperti biasa) sebelum di buat keputusan. Tiba-tiba sahaja, mereka yang 'terpilih' terus dikejutkan dengan penarikan balik elaun kritikal.

Tetapi yang lebih utaman sekarang ini ialah PTK. Sudah jelas ianya merupakan satu ketidakselesaan kepada hampir keseluruhan pekerja gomen. Cuepacs terpaksa menuntut ianya diubah. Cuba bayangkan jika tiada tuntutan daripada Cuepacs, sudah tentu PTK ini akan tetap diteruskan oleh JPA. Mungkin JPA sahaja yang bersetuju dengan PTK ini. Itu pun mungkin kerana terpaksa kerana mereka yang menciptanya.

Mengikut laporan, Cuepacs mahu peperiksaan diganti dengan kursus. Walaupun ini merupakan cadangan awal, penelitian daripada JPA juga perlu. Kursus yang bagaimana yang diperlukan, apa kandungan kursus, tempoh kursus, bentuk penilaian, tahap cemerlang, isu kuota, dan macam-macam lagi.

Memang isu ini menyulitkan, ia menjadi sulit disebabkan oleh kelemahan perancangan. Kelemahan perancangan ini yang menjadi puncanya ialah apabila orang yang bukan ahli diletakkan di tempat yang tidak sepatutnya.

Memang menjadi sesuatu lumrah apabila orang yang bukan ahli ini dipilih mengisi kerusi tertentu di sektor awam. Lebih-lebih lagi yang diisi itu merupakan jawatan-jawatan kanan yang penting. Sudahlah tidak mahir di dalam bidang tersebut, tidak pula mahu merujuk dengan pihak-pihak yang sepatutnya sebelum pekeliling dikeluarkan.

Sekali lagi di dalam hal ini, pekerja gomen perlu berhati-hati di dalam menunggu pekeliling baru mengenai PTK ini. Jika masih diteruskan tabiat lama, pisang mungkin berbuah dua kali.

No comments: