Monday, April 2, 2007

Boleh naik ke?

Kajian semakan gaji kakitangan awam oleh Cuepacs mendatangkan pelbagai pandangan dan komen daripada masyarakat. Yang paling popular sekali ialah dengan mengaitkan kenaikan gaji dengan produktiviti. Alasan yang diutarakan ialah dengan membandingkan dengan pihak swasta melalui kenyataan bahawa jika di swasta, seseorang pekerja akan mendapat imbuhan dan kenaikan pangkat hasil daripada produktivitinya atau kerjanya.

Namun begitu, yang tidak diketahui oleh mereka (kerana bukan kakitangan awam) ialah kakitangan awam ini terdiri dari 3 peringkat. Peringkat pertama ialah peringkat sokongan. Peringkat inilah yang diperjuangkan oleh pihak Cuepacs kerana rata-rata kakitangan di peringkat ini mempunyai gaji di bawah RM 1000. Untuk makluman, gaji 'office boy' adalah di bawah RM500.

Peringkat kedua ialah golongan pengurusan dan profesional. Dengan gaji asas di dalam lingkungan RM 1700 untuk permulaan, diakui adalah setanding dengan pihak swasta. Namun begitu kenaikan tahunannya adalah diantara RM70-80 setahun. Kenaikan ini jika dihitung bagi pengalaman selama lima tahun, kenaikannya adalah RM350-RM400. Adakah memadai dengan pengalaman lima tahun ini, kerana jika dibandingkan dengan pihak swasta terutamanya bagi peguam, jurutera, pakar komputer, doktor, farmasi dan lain-lain lagi bidang profesional sekurang-kurangnya kenaikan bagi lima tahun pengalaman ialah RM500 -RM1000.

Peringkat ketiga iaitu pengurusan utama, oleh kerana pendapatan bagi peringkat ini melebihi RM5000, maka cadangan agar kenaikan sebanyak 10% bolehlah dikatakan munasabah. Kategori ini menerima elaun-elaun lain yang mencukupi termasuklah kenderaan rasmi dari pihak kerajaan.

No comments: